Dorongan bapa rahsia Darwisy kuasai sukan sepak takraw

Dorongan bapa rahsia Darwisy kuasai sukan sepak takraw

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bermula sejak umur enam tahun dan kini semakin menguasai kemahiran asas dalam sukan sepak takraw membuatkan bakat cilik, Muhammad Darwisy Sya’ban Sallehuddin memasang impian untuk menjadi pemain berjaya dalam sukan itu suatu hari nanti.

Menurut ayahnya, Sallehuddin Rahmat, beliau mula mengasah bakat anak keduanya berusia 10 tahun itu dari kecil dan mencari altenatif iaitu dengan mengajar secara sendirian agar dia benar-benar menguasai perkara penting dalam sukan itu terlebih dahulu.

Tambahnya, salah satu faktor lain juga yang menyebabkan Darwisy meminati sukan sepak takraw adalah melalui abangnya, Muhammad Dhani Fitri Sallehuddin yang berjaya muncul juara dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 12 Tahun pada 2021.

“Masa dia mula-mula berjinak dalam sukan sepak takraw ini, dia hanya boleh timbang sekali sahaja dan bola itu akan lari jauh (sukar untuk mengawal bola) sebelum sedikit demi sedikit saya mengajar dia dan kini boleh menimbang sehingga hampir 500 kali.

“Saya pemain badminton. Kalau ilmu menguasai gelanggang, saya ada tapi untuk ilmu sepak takraw secara lebih teperinci, saya kurang dan saya lakukan carian sendiri termasuk mengambil kursus asas sukan untuk menurunkan ilmu itu kepada Darwisy serta pelajar lain di sekolah anak saya.

“Sebagai ibu bapa, saya akan memberi sokongan penuh untuk dia agar dia terus minat dan berjaya dalam sukan ini pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Sallehuddin melihat anak keduanya yang bermain di posisi apit kiri juga cepat belajar ilmu baharu termasuk menguasai kaki kiri dan kanan ketika menimbang bola dan itu memberi peluang untuk dirinya terus mencipta nama pada masa akan datang.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan ‘Klinik Latihan Asas Sukan Sepaktakraw (KLAS)’ 2024 yang diusahakan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) nampaknya mula menghasilkan bakat terbaik selepas seorang kanak-kanak dari program itu, berjaya mencuri perhatian orang ramai dengan gaya menimbang bola cara bersahaja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top