Birmingham: Aston Villa mengesahkan kehadiran pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho daripada Chelsea secara pinjaman selama semusim dengan perjanjian itu turut mengandungi klausa pembelian tetap pada penghujung musim depan.
Pengurus Villa, Unai Emery menyifatkan pemain berusia 22 tahun itu sebagai bakat muda berkualiti yang mampu memperkukuhkan jentera serangan pasukannya.
“Kami gembira dengan kehadiran Alejandro. Dia seorang pemain yang sangat berbakat, masih muda dan menunjukkan keinginannya untuk membantu projek kami. Kami benar-benar gembira,” kata Emery.
Garnacho menyertai Chelsea daripada Manchester United pada musim panas tahun lalu menerusi perpindahan bernilai £40 juta (kira-kira RM230 juta), namun gagal mengukuhkan kedudukan dalam kesebelasan utama.
Sepanjang bersama The Blues, beliau membuat 43 penampilan dalam semua pertandingan dan menjaringkan lapan gol.
Sebelum itu, Garnacho menghabiskan lima tahun bersama Manchester United dengan merekodkan 26 gol daripada 144 penampilan sebelum meninggalkan Old Trafford.
Pemain kelahiran Madrid itu juga pernah menjadi sebahagian daripada akademi Atletico Madrid sebelum berhijrah ke England.
Di pentas antarabangsa, Garnacho disenaraikan dalam skuad awal 55 pemain Argentina menjelang Piala Dunia 2026, namun gagal dipilih dalam senarai akhir pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




