Petros bakal jadi agregator gas tunggal di Sarawak – Abang Johari

Petros bakal jadi agregator gas tunggal di Sarawak – Abang Johari

Kuching: Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bakal menjadi agregator gas tunggal di negeri ini, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, rundingan antara kedua-dua syarikat minyak iaitu Petros dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung pengagihan gas asli di negeri ini dimuktamadkan dan keputusan berkenaan dimaklumkan kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.

“Maknanya kita akan teruskan usaha kita sebagai agregator gas dan formula serta details (butiran terperincinya) akan dibincang lebih lanjut pada dasarnya.

“(Petronas) dia setuju bahawa satu-satunya agregator gas adalah Petros… (perkara itu) hanya ada dimaklumkan kepada Yang Berhormat Julaihi secara unofficial (tidak rasmi), jadi akan disusuli menerusi surat secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di rumah terbuka perayaan Deepavali anjuran Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, hari ini.

Sebelum ini, Abang Johari berkata, rundingan berkenaan perlu diselesaikan sebelum 1 Oktober tahun ini.

Menurut RHB Investment Bank Bhd, Petronas dijangka kehilangan sebahagian daripada pendapatannya kerana tidak menjadi agregator tunggal di Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top