Akhiri saingan sengit

Akhiri saingan sengit

georgie@hmetro.com.my

Perjuangan hampir dua dekad Fiza Sabjahan dalam bidang pengacaraan terbayar apabila berjaya menggenggam trofi Pengacara TV Terbaik di acara berprestij Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024), baru-baru ini.

Hakikatnya, itu adalah pencalonan sulung dan trofi pertama diraih Fiza atau nama sebenarnya Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan, 42, dalam anugerah pengiktirafan arena penyiaran paling dinantikan ramai itu.

Menewaskan nama-nama besar termasuklah rakan seperjuangan di TV3 iaitu Ahmad Fedtri Yahya, baginya kemenangan itu datang dengan tanggungjawab lebih besar. Bukan alasan buatnya mendabik dada selepas ini.

“Saya rasa saingan paling sengit adalah Fedtri Yahya sebab dia pun memang mentor saya juga. Alhamdulillah, trofi ini diberi pihak juri dan ini bukan bermakna saya harus bersenang-lenang, berlapang dada.

“Mungkin ini peluang untuk saya mencuba bidang pengacaraan yang lain pula. Saya juga harap saya sendiri dapat melahirkan pelapis generasi baharulah,” kata pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) itu.

Kemenangan berkenaan adalah hasil daripada kecemerlangannya mengendalikan program Eksklusif Bersama Presiden Indonesia, Joko Wido.

Sewaktu menerima trofi, Fiza sempat memberi ucapan yang cukup beremosi mengenai kembara kariernya. Bukan mudah untuk dia bertahan dan kekal relevan hingga ke tahap sekarang.

Bahkan, dia turut mengimbas kisah diperlekeh kerana visualnya sewaktu memulakan kerjaya pengacaraan. Katanya, mujur dia memilih berpegang teguh kepada nasihat individu-individu yang lebih positif.

“Itu memang kenyataan. Masa mula-mula saya menceburi bidang pengacaraan, saya buat program besar iaitu Nona. Ketika itu, ada pihak berasakan saya tidak cukup cantik untuk jadi kemudi program itu.

“Tapi ada ramai individu yang cakap pada saya untuk bekerja sebab bakat, percaya kepada rezeki Allah. Suatu hari nanti orang akan iktiraf kita. Saya terus berusaha dan cuba jadi yang terbaik,” katanya.

Jika diselak satu-persatu, terlalu banyak dugaan dan pengorbanan Fiza lalui sepanjang tempohnya mencipta nama. Namun dia bersyukur ada keluarga yang cukup padu sokongannya sepanjang masa.

Paling buatnya sebak adalah tidak dapat berkongsi momen penuh makna itu bersama arwah kakaknya Allahyarham Siti Hajar yang meninggal dunia pada 2018.

“17 tahun lamanya, macam-macam perkara yang berlaku dalam hidup saya. Ada orang kata, untuk mendapatkan sesuatu, kita akan kehilangan masa bersama keluarga.

“Sebab saya bukan saja pengacara, tapi wartawan, penerbit, dan penerbit eksekutif. Saya harap sangat kejayaan ini dapat dikongsi bersama arwah kakak saya sebab dia memang pengkritik dan penyokong utama saya.

“Selepas dia meninggal dunia, saya rasa saya kena bekerja lebih kuat lagi. Alhamdulillah saya berterima kasih dengan syarikat pengurusan TV3 yang banyak memberi peluang dan kepercayaan,” katanya.

Sentiasa merendah diri, hormat orang baharu

Satu hal yang sentiasa Fiza terapkan dalam diri adalah tidak jemu belajar dan sentiasa beradaptasi dengan perubahan zaman. Katanya hal itu teramat penting agar diri tidak ketinggalan di takuk lama.

“Saya tak adalah resepi-resepi tertentu tapi percaya bahawa dalam bekerja, asalkan tak menganiayai, tak ganggu orang, jalankan kerja sebaik mungkin.

“Walaupun kadang-kadang rasa diri sudah agak lama dalam industri, tak salah untuk belajar perkara baharu daripada orang lebih baharu. Sebab zaman, penonton, dan generasi pun sudah berubah.

“Kita pun kena ubah diri jugalah. Kalau saya nak pikat generasi baharu, saya pun kena ubah diri saya,” katanya.

Selain itu, Fiza juga percaya penjagaan ketrampilan adalah keperluan penting dalam kerjaya juga. Seseorang pengacara tidak harus lokek berbelanja untuk cantikkan penampilan.

“Penting juga untuk kita ada sedikit belanja kekal relevan dalam industri. Penjagaan diri itu memang penting. Tak semestinya mahal, tapi adalah keperluan untuk letakkan diri di sesuatu tahap.

“Termasuklah juga keseluruhan penampilan merangkumi sikap. Tak bolehlah rasa bila diri sudah lama, rasa bagus. Kita kena sentiasa menghormati orang lain walaupun kadang-kadang rakan lain lebih muda,” katanya.

Fiza juga sempat menitipkan nasihat buat generasi muda yang ingin mencuba pengacaraan namun tidak yakin akan pakej diri khususnya penampilan. Tapi tuntasnya, ilmu di dada juga sangat penting.

“Mengacara ini lebih kepada bakat. Kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, berdiri atas bakat, insya Allah orang dan penonton akan menilai kita berdasarkan bakat. Bukan sekadar rupa.

“Kalau sudah ada sedikit wang, pergilah buat penjagaan wajah atau sebagainya. Saya percaya hal itu. Perlahan-lahan. Kalau rasa kurang dari segi bakat, kita cari ilmu, belajar daripada yang lebih berilmu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top