harisfadli@hmetro.com.my
Puchong: Wang simpanan mencecah RM450,000 lesap kerana rambang mata mendengar pulangan dijanjikan ‘sifu’ pelaburan di media sosial.
Itu nasib menimpa Ken Wong, 40, seorang pekerja swasta dalam bidang kewangan yang mendakwa sudah hampir satu dekad berkecimpung dalam dunia pelaburan namun mengakui pertimbangannya dikaburi sifat tamak.
“Saya tertarik dengan iklan yang ditemui di media sosial kemudian saya dimasukkan ke dalam kumpulan sembang yang kononnya memberikan tips berkenaan mana jenis pelaburan menguntungkan.
“Kemudian saya diminta membuat pelaburan menerusi platform dalam talian dan berjaya mengeluarkan dividen kira-kira RM5,000.
“Platform itu memaparkan pelaburan saya menguntungkan tetapi tidak dapat mengeluarkan keuntungan itu. Saya mula menyedari mungkin sudah ditipu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, dia membuat sebanyak 23 transaksi pemindahan wang ke dalam empat bank syarikat sendirian berhad sejak Julai lalu sebelum membuat laporan polis selepas menyedari ditipu sindiket sebulan kemudian.
Sementara itu Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) Joseph Prakash menggesa tindakan tegas diambil pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu penipuan yang berleluasa.
Katanya, sejumlah mangsa tampil membuat aduan kepada pihaknya selepas dimaklumkan siasatan tidak dapat diteruskan atas alasan kekurangan bukti.
Menurutnya, tindakan sekatan harus diambil segera ke atas iklan pelaburan di media sosial yang sering digunakan penjenayah untuk mencari mangsa.
“Kenapa tiada pihak mengambil tindakan dan membiarkan mereka membuat iklan. Jika ada sekatan saya percaya perkara ini tidak akan berlaku.
“Mangsa penipuan ini ada yang sudah pencen, mereka sudah buat laporan pada PDRM dan agensi berkaitan serta sudah tunjukkan bukti.
“Tetapi banyak kertas siasatan NFA (tiada tindakan lanjut) walaupun bukti kita sudah tunjuk kalau mereka (polis) kata tiada bukti saya sedia ke hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




