SPRM mula siasatan kes penipuan hak milik tanah di Kuala Kedah

SPRM mula siasatan kes penipuan hak milik tanah di Kuala Kedah

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah membuka kertas siasatan membabitkan isu penipuan hak milik tanah di Kuala Kedah yang tular di media sosial sebelum ini.

Menurut sumber, tiga individu disyaki terbabit dalam kes berkenaan dipanggil SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan maklumat berkaitan.

Jelasnnya, beberapa dokumen berkaitan kes turut diperoleh yang diyakini dapat membantu dalam siasatan lanjut.

“Fokus siasatan dijalankan SPRM tertumpu kepada isu rasuah serta penggunaan dokumen yang dipercayai palsu bagi tujuan pindah milik tanah terbabit.

“Beberapa individu serta agensi yang disyaki terbabit dengan kes ini juga telah dikenal pasti dan mereka akan dipanggil dalam waktu terdekat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan bahawa siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

Terdahulu, tular video mendakwa berlakunya pemalsuan membabitkan dokumen perintah mahkamah membabitkan urusan sewa tanah milik penduduk tempatan dikenali sebagai Abu Ismail di Kuala Kedah.

Tanah terbabit dikatakan disewa sejak 10 tahun lalu, namun pengadu menafikan ada menyewakan tanah berkenaan kepada mana-mana pihak selain mendakwa perjanjian sewaan turut dipalsukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top