Changzhou: Pemain Taiwan, Chou Tien-chen mencipta sejarah apabila muncul juara perseorangan lelaki Terbuka China 2026 sekali gus menjadi juara tertua dalam kategori itu pada usia 36 tahun.
Pemain nombor enam dunia itu menampilkan aksi penuh pengalaman untuk menewaskan wakil Perancis, Toma Junior Popov dalam pertarungan tiga set 21-15, 7-21, 21-13 pada final di Changzhou, timur China, hari ini.
Kejayaan itu turut menamatkan penantianTien-chen untuk meraih gelaran Super 1000 selepas kali terakhir melakukannya ketika menjuarai Terbuka Indonesia pada 2019.
Tien-chen mengambil masa lebih sejam untuk memastikan kemenangan ke atas Popov yang berusia 27 tahun dan berada di ranking ke-16 dunia.
Detik kemenangan hadir menerusi semakan video rasmi apabila pukulan akhir Popov disahkan keluar gelanggang. Tien-chen yang keletihan dan penuh emosi kemudian melutut di atas gelanggang sambil menghulurkan kedua-dua tangan sebagai tanda meraikan kejayaan bersejarah itu.
Bagi Popov, kekalahan itu menyaksikan hasratnya untuk meraih gelaran Super 1000 pertama masih belum kesampaian.
Adiknya, Christo Popov yang kini berada di ranking kelima dunia pula tersingkir pada pusingan 16 terbaik Terbuka China tahun ini.
Dalam aksi perseorangan wanita, pemain Jepun, Akane Yamaguchi menewaskan pilihan tuan rumah, Chen Yufei 21-18, 21-16 untuk merangkul kejuaraan.
Kemenangan itu mengulangi pencapaian Yamaguchi ke atas Yufei dalam Kejohanan Dunia tahun lalu di Paris.
Akane, 26, yang juga juara dunia tiga kali kini berada di ranking ketiga dunia.
Sementara itu, gandingan beregu wanita China, Liu Shengshu-Tan Ning menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-14, 21-19.
Dalam acara beregu lelaki, juara bertahan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri mempertahankan gelaran selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae 16-21, 21-19, 21-19.
Final beregu campuran pula menyaksikan pertembungan sesama pasangan China apabila Guo Xinwa-Chen Fanghui menewaskan Feng Yanzhe-Huang Dongping 25-23, 20-22, 21-15 dalam aksi maraton selama 88 minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




