Dhabitah rangkul tiga emas di Terbuka Malaysia

Dhabitah rangkul tiga emas di Terbuka Malaysia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri menutup tahun 2024 dengan gemilang apabila merangkul emas hatrik pada hari terakhir pada Terbuka Malaysia 2024 yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Dhabitah sebelum ini meraih dua emas dan merangkul emas ketiga menerusi acara 3m papan anjal seirama campuran bergandingan bersama Gabriel Gilbert Daim.

Bagi Dhabitah, dia amat gembira apabila melihat Gabriel kembali ke pertandingan selepas berehat agak panjang akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya pada tahun lalu.

“Saya sangat berbangga dengan Gabriel sebab dia sudah lama tidak menyertai kejohanan bertaraf kompetitif, hampir setahun lebih.

“Hari ini, saya sangat gembira kerana kami boleh tamatkan kejohanan ini seperti di rancang. Saya tidak kisah sekiranya digandingkan dalam acara campuran pada kejohanan akan datang sebab kami saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Selain itu, Dhabitah juga bersedia sekiranya dia disatukan bersama penerjun lain pada kejohanan seterusnya.

“Kalau untuk campuran, saya bersama Gabriel atau dengan syafiq pun tiada masalah. Untuk perempuan, sekarang, Ong Ker Ying tapi dia kena pastikan dia bebas dari sebarang kecederaan kerana jika terlalu memaksa, dia akan merugikan diri sendiri nanti (mengalami kecederaan berulang),” katanya.

Dhabitah-Gabriel berada di tempat pertama selepas mengumpul 242.10 mata mengetepikan wakil Indonesia, Aldinsyah Putra Rafi-Gladies Lariesa Garina (230.40 mata) manakala pingat gangsa menjadi milik wakil dari Singapura Max Lee-Alycia Lim dengan 202.08 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top