Manchester: Casemiro dibanjiri emosi selepas kemenangan Manchester United 2-1 ke atas Brentford di Old Trafford, awal pagi tadi.
Rakaman yang tidak pernah disiarkan sebelum ini menunjukkan pemain berpengalaman itu mengesat air mata sejurus tamat perlawanan.
Pemain tengah Brazil itu mempamerkan aksi terbaik apabila menanduk masuk gol pembukaan United untuk kemenangan 2-1 itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menghampiri kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Casemiro looked visibly emotional at full-time, wiping away tears
You can see how much the club means to him and the love from United fans is mutual #MUFC pic.twitter.com/rz8IVtTuVU
— Stretford Paddock (@StretfordPaddck) April 27, 2026
Casemiro membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi tandukan deras dan jelas, aksi menyeluruhnya menjadi tumpuan utama.
Pemain berusia 34 tahun itu mencatatkan 11 terjahan, memenangi 16 perebutan bola dan melakukan sembilan clearance, menjadikannya satu-satunya pemain dalam tempoh dua dekad terakhir yang mencapai ketiga-tiga angka itu dalam satu perlawanan EPL.
Ia menjadi satu lagi detik penting dalam apa yang dilihat sebagai perpisahan penuh emosi.
Pada Februari lalu, Casemiro mengesahkan dia akan meninggalkan United apabila kontraknya tamat musim panas ini.
Hakikat itu jelas dirasai sebaik wisel penamat dibunyikan apabila ketika berjalan keluar dari padang dengan tepukan gemuruh penyokong, bekas bintang Real Madrid itu gagal menahan emosi dan tersentuh dengan sokongan peminat di Old Trafford.
Bercakap selepas perlawanan, Casemiro mengakui hubungan yang dirasainya di United agak mengejutkannya.
“Saya menghabiskan sebahagian besar karier saya di Sepanyol bersama Real Madrid dan saya memenangi banyak trofi,” kata Casemiro.
“Tetapi di sini, dalam beberapa musim sahaja di Manchester United, saya merasai sesuatu yang berbeza, sesuatu yang cukup mendalam sehingga membuatkan seorang lelaki dewasa menangis.
“Di Real Madrid, memenangi trofi memang luar biasa. Tetapi di sini, walaupun satu kemenangan terasa sama besar, seperti menjulang trofi itu sendiri.
“Hubungan dengan penyokong itu cukup kuat untuk menyentuh perasaan seorang lelaki dewasa. Sebab itu saya tidak dapat menahan air mata.”
Prestasi terkininya turut mencetuskan desakan penyokong agar dia membuat pusingan U terhadap keputusannya untuk meninggalkan kelab.
Namun, pengendali sementara Michael Carrick menegaskan keputusan itu sudah muktamad.
Carrick berkata: “Ia sangat jelas, dari kedua-dua pihak, memang jelas.
“Ia menunjukkan betapa besar maknanya kepada dia. Kejelasan itu membantu semua orang memahami situasi.
“Kredit kepadanya, dia memberikan segala-galanya dan mencipta beberapa detik besar untuk kami.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




