Ops Ihsan, kerajaan cadang wujud jaringan operasi kemanusiaan antarabangsa

Ops Ihsan, kerajaan cadang wujud jaringan operasi kemanusiaan antarabangsa

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sekretariat Ops Ihsan bercadang mewujudkan jaringan operasi kemanusiaan di seluruh dunia, termasuk di Palestin dengan menggabungkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, terutama dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pengerusinya, Jismi Johari, berkata usaha berkenaan dijangka dimulakan tahun hadapan, seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Katanya, ia bertujuan mengkoordinasi pelan dan tindak balas, sekali gus memudahkan urusan bagi sebarang usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang tertindas.

Beliau yang juga Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) berkata, cadangan mewujudkan jaringan NGO kemanusiaan itu dibuat selepas mengambil kira cabaran dan risiko dihadapi untuk menyalurkan bantuan.

“Cabaran ini termasuk sekatan seperti dikenakan Israel ke atas mana-mana NGO yang mahu menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Justeru, Ops Ihsan dengan kerjasama kerajaan melihat peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN boleh digunakan untuk mengajak NGO dan pihak berkaitan untuk bekerjasama dalam mendepani krisis kemanusiaan, bukan hanya di Gaza sebaliknya di seluruh dunia,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan mengenai Palestin: Meneroka Perspektif Asia anjuran Pusat Penyelidikan dan Dialog Asia Barat (AMEC) dan Pusat Kajian Palestin Hashim Sani di Universiti Malaya, hari ini.

Sementara itu, Jismi berkata, bantuan kemanusiaan masih gagal disalurkan sewajarnya ke Gaza ketika ini, dengan anggaran kira-kira 20 trak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibenarkan masuk dalam sehari.

Katanya, jumlah itu tidak mencukupi memandangkan kira-kira 300 trak bantuan kemanusiaan diperlukan sehari bagi memenuhi keperluan rakyat di Gaza yang berdepan penderitaan berpanjangan susulan serangan berterusan rejim Zionis, sejak Oktober dua tahun lalu.

“Keadaan ini disokong dengan laporan bedah siasat ke atas bekas pemimpin Hamas, Yahya Sinwar yang didedahkan kepada umum pagi tadi, mendapati beliau tidak makan dalam tempoh 72 jam sebelum terbunuh dalam serangan udara Israel, baru-baru ini.

“Situasi ini secara jelas menafikan dakwaan yang bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza adalah untuk kegunaan Hamas, ia tidak benar sama sekali,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top