TRINIDAD Hospitality Sdn Bhd (Trinidad Hospitality) dan Petrosains Sdn Bhd (Petrosains) menjalin kerjasama strategik selama dua tahun bermula Rabu sekali gus menawarkan diskaun eksklusif 15 peratus kepada pelanggan serta pekerja kedua-dua organisasi itu.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi untuk mewujudkan peluang penglibatan yang bermakna sambil mempromosikan pelancongan, hospitaliti, pendidikan dan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam ekosistem gaya hidup serta riadah Malaysia yang dinamik.
Ia juga menjadi satu usaha memperkukuh ekosistem gaya hidup, pendidikan dan pelancongan berasaskan pengalaman yang semakin menjadi trend baharu dalam industri pelancongan negara.
Melalui kolaborasi tersebut, pelanggan dan kakitangan Petrosains akan menikmati diskaun 15 peratus bagi tawaran hospitaliti terpilih termasuk penginapan, pengalaman makan dan perkhidmatan gaya hidup di bawah pengurusan Trinidad Hospitality.
Sebagai timbal balas, pelanggan dan pekerja Trinidad Hospitality turut diberikan diskaun sama bagi kemasukan ke Petrosains, pembelian cenderamata dan tawaran terpilih di tarikan serta outlet Petrosains.
Lebih daripada sekadar manfaat pengguna, kedua-dua organisasi turut merangka kerjasama pemasaran silang merangkumi kempen promosi, pertandingan, kolaborasi media sosial dan penghasilan kandungan digital bagi memperluaskan capaian jenama masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Trinidad Hospitality Group, Datuk Seri Naresh Mohan berkata, perkongsian itu bukan sekadar kerjasama promosi sebaliknya mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan memperkukuh penglibatan komuniti.
“Ia juga untuk mencipta detik yang bermakna dan tidak dapat dilupakan untuk keluarga, pelancong dan pengunjung.
“Kami percaya kerjasama ini akan memberi nilai tambah kepada kedua-dua jenama serta memperkukuh hubungan dengan tetamu dan komuniti kami,” katanya.

Naresh (kiri) dan Ezarisma menandatangani MoU menandakan kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi itu selama dua tahun bermula Rabu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad memaklumkan, pihaknya melihat perkongsian itu sebagai usaha strategik untuk memperkukuh kerjasama rentas sektor, meningkatkan penglibatan awam serta menyokong ekosistem pelancongan dan pembelajaran berasaskan pengalaman di Malaysia.
“Di Petrosains, misi kami adalah untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan menginspirasi pembelajaran melalui pengalaman sains yang bermakna dan imersif yang menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kerjasama dengan Trinidad Hospitality ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperluaskan impak tersebut melangkaui persekitaran pembelajaran tradisional, dengan mengintegrasikan pendidikan bersama pengalaman gaya hidup dan hospitaliti,” ujarnya.
Kata beliau, pada akhirnya, ia mengukuhkan aspirasi Petrosains untuk menjadikan sains dan penemuan lebih mudah diakses, relevan dan memberi impak kepada komuniti.
Manfaat eksklusif diskaun 15 peratus terbabit berkuat kuasa sehingga 2 Jun 2028 tertakluk kepada terma dan syarat.
Artikel Disyorkan
04 Jun 2026 10:24am



