am@hmetro.com.my
Lipis: Anggota polis menyelamatkan suami isteri yang hampir lemas apabila kenderaan pacuan empat roda naiki terbabas ke dalam parit di kilometer 4, Jalan Lipis ke Merapoh hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, ketika polis tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa Chia Boon Tiong, 55 dan isterinya berada dalam MitsubishiTriton yang hampir tenggelam.
Katanya siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari Machang, Kelantan ke Selayang, Selangor untuk menghadiri mesyuarat.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan lalu terjatuh ke dalam parit yang digenangi air selepas hujan lebat.
“Sarjan Mohd Affendy Suhaimi yang tiba di lokasi kejadian turun ke dalam parit untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa yang hampir lemas,” katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan, Chia mengalami luka kecil manakala Kok tidak mengalami kecederaan.
Katanya kes disiasat dibawah Kaedah 10 LN 166/59 (Kaedah kaedah Lalu Lintas 1959).
© New Straits Times Press (M) Bhd




