am@hmetro.com.my
Muar: “Saya jaga bapa buta, kalau saya tak ada, tak tahu siapa jaganya selepas ini.
“Kalau boleh biarlah beri hukuman ringan pada saya,” demikian rayuan peniaga buah yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menunjuk kemaluan terhadap anak kandungnya, bulan lalu.
Tertuduh berusia 52 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor sebelum dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta dua sebatan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak perempuan berusia 14 tahun di rumahnya di Batu Pahat, 8 malam, 20 Oktober lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa keluar dari bilik air sebelum tertuduh menghampirinya lalu menunjukkan kemaluan yang turut disaksikan adik dan ibunya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 15 (a) (1) manakala Seksyen 16, dua tahun serta dua sebatan.
Mahkamah mengarahkan hukuman itu berjalan berasingan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan, 1 November.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang pemenjaraan serta pengawasan polis setahun sebaik selesai hukuman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




