'PAC jangan tangkap muat sahaja' – Zahid Hamidi

'PAC jangan tangkap muat sahaja' – Zahid Hamidi

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang tidak mendapatkan maklumat sebenar mengenai penjualan bangunan komersial Semarak20 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dikendalikan Felcra Berhad (Felcra).

Ia susulan kebimbangan jawatankuasa berkenaan menerusi laporan diterbitkan semalam yang menjelaskan penjualan unit Semarak20 seperti dinyatakan Felcra masih dalam status belum dijual, malah cadangan itu hanya di peringkat perbincangan bersama pihak pembeli, ketika ini.

Susulan itu, Ahmad Zahid mengarahkan Pengerusi Felcra, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idris Lasim untuk memberi penjelasan secara tuntas kepada PAC berhubung isu berbangkit itu.

“Saya minta Pengerusi Felcra dan juga CEO Felcra untuk memberi penjelasan kepada PAC supaya PAC jangan `tangkap muat’ sahaja maklumat yang diperoleh.

“Ini kerana Felcra membuat pinjaman untuk mendirikan kompleks berkenaan dan jika tidak dibayar (ansuran) maka ia akan membabitkan bebanan kewangan kepada agensi itu.

“Jualan itu pun akan mengikut harga pasaran dan mungkin dibuat secara tender terbuka supaya memastikan `the highest bidder’ (bidaan tertinggi) akan mampu untuk membeli seluruh kompleks berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco Luar Bandar (MEXCLUB) 2024 di sini, hari ini.

Pada majlis itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan Watikah Pegawai Kehormat Angkatan Pertahanan Awam (APM) kepada semua EXCO Luar Bandar.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.

PAC dalam laporan media semalam, mengakui bimbang dengan prestasi penjualan bangunan komersial Semarak20 di Jalan Semarak di sini, yang dikendalikan Felcra.

Ini kerana, PAC dalam Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan serta KKDW bagi syor laporan PAC Parlimen berhubung FELCRA, semalam, menjelaskan penjualan unit Semarak20 yang dinyatakan Felcra masih dalam status belum dijual dan cadangan itu hanya di peringkat perbincangan bersama pihak pembeli, ketika ini.

Difahamkan, ada beberapa syarikat berpotensi dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu menunjukkan minat untuk membeli Semarak20 melalui kaedah en-bloc.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top