Kuala Lumpur: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak pernah mengeluarkan surat untuk orang awam menyerah atau mendepositkan wang simpanan ke dalam akaun syarikat atau peribadi, kononnya bagi tujuan pelaburan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dengan penipuan yang menggunakan surat palsu MITI bagi tujuan itu.
“Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan segera membuat laporan polis sekiranya menerima sebarang surat atau tawaran pelaburan yang meragukan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Johari turut memuat naik video memaparkan seorang individu menemui beliau dengan membawa surat menggunakan Jata Negara dan kepala surat kementerian itu yang meminta wang RM3,000 bagi memperoleh pulangan wang berganda.
Menerusi video itu, Johari menasihatkan mangsa membuat laporan polis berhubung surat yang kononnya ditandatangani beliau untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




