sukan@hmetro.com.my
Nagoya: Selepas 44 tahun, Malaysia kembali memiliki wakil dalam final acara 200 meter (m) lelaki Sukan Asia apabila pelari muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee melakar kejayaan bersejarah di pentas Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Danish, 19, menamatkan separuh akhir saringan satu di tempat keempat dengan catatan 20.76 saat (s) di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic.
Catatan itu membolehkan pelari muda negara berkenaan layak menerusi dua catatan terpantas berikutnya, sekali gus menempatkan diri dalam kelompok lapan pelari terbaik Asia.
Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam final 200m lelaki Sukan Asia ialah menerusi legenda pecut negara, Datuk Rabuan Pit pada edisi New Delhi 1982 yang menghadiahkan pingat gangsa buat negara.
Dalam saingan separuh akhir hari ini, saringan berkenaan dimenangi pelari Jepun, Soshi Mizukubo dengan catatan 20.37s, diikuti Wu Yen Ming Ke dari Taiwan (20.71s) dan Yip King Wai dari Hong Kong (20.74s).
Danish berkata, penampilan sulung di pentas Sukan Asia bersama skuad senior memberikan pengalaman baharu dan positif buat dirinya.
“Alhamdulillah, ia satu perkara yang baik dan positif untuk saya. Ini adalah penampilan sulung saya di Sukan Asia bersama pasukan senior dan ia pengalaman baharu serta pencapaian besar untuk saya,” katanya .
Sementara itu, seorang lagi pelari negara, Muhammad Haziq Mohamad Akhir gagal mengikut jejak langkah Danish apabila terkandas di separuh akhir.
Haziq yang bersaing dalam saringan ketiga bersama raja pecut Asia, Puripol Boonson dari Thailand menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan catatan 21.50s.
Puripol yang sebelum ini memenangi emas 100m lelaki meneruskan kecemerlangan apabila mencipta rekod baharu Sukan Asia dengan catatan 20.10s, memadam rekod lama milik Femi Ogunde dari Qatar iaitu 20.14s yang dilakukan pada edisi Incheon 2014.
Tempat kedua saringan itu menjadi milik pelari India, Animesh Kujur (20.81s), manakala Ali Haji dari Bahrain ketiga (21.91s).
Dalam acara 110m lari berpagar, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif gagal melangkah ke separuh akhir selepas menamatkan saingan pusingan pertama di tempat keempat saringan ketiga dengan catatan 13.92s.
Bagi acara lontar peluru, Jonah Chang menamatkan saingan final di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan catatan 18.89 meter (m).
Pingat emas dimenangi Mohamad Reza Tayebi dari Iran menerusi catatan 20.81m yang juga rekod baharu Asia, manakala wakil India, Tajinderpal Singh Toor meraih perak dengan 20.64m dan Mohammed Tolu dari Arab Saudi gangsa menerusi 20.48m.
© New Straits Times Press (M) Bhd




