Hari Cuci Malaysia 2026 cipta dua rekod MBOR

Hari Cuci Malaysia 2026 cipta dua rekod MBOR

Kuala Lumpur: Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 hari ini mencipta dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi mobilisasi rakyat secara besar-besaran dan pengumpulan bahan kitar semula dalam tempoh sehari.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan dua rekod itu dicipta menerusi penyertaan sebanyak 272,390 peserta HCM 2026 di seluruh negara dan pengumpulan 89,221.22 kilogram bahan kitar semula sehari.

Selain itu, HCM 2026 yang dilaksanakan serentak di 469 lokasi di seluruh negara juga merekodkan kutipan sisa pepejal sebanyak 8,010.19 tan hasil pelaksanaan aktiviti pembersihan dan gotong-royong.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan sama berkata, pencapaian dua rekod itu bukan sekadar kejayaan KPKT, tetapi menjadi pencapaian rakyat Malaysia yang berganding bahu menjayakan agenda kebersihan negara.

“Dua rekod yang kita cipta hari ini bukan sekadar tentang angka. Di sebalik angka ini ialah ratusan ribu rakyat Malaysia yang memilih untuk turun bersama-sama membersihkan persekitaran dan mengitar semula demi negara yang lebih bersih dan lestari,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan semangat gotong-royong masih kukuh dalam masyarakat dan mempunyai potensi besar untuk diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku yang berpanjangan.

Nga berkata, HCM 2026 turut mendapat sokongan 10,000 sekolah di seluruh negara dengan penyertaan murid diiktiraf di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Penglibatan generasi muda itu, menurut beliau penting dalam membentuk kesedaran bahawa kebersihan, pengasingan sisa dan amalan kitar semula perlu bermula dari usia persekolahan.

Beliau berkata, kejayaan HCM 2026 perlu menjadi titik tolak kepada usaha lebih besar dalam memperkukuh ekonomi kitaran serta pengurusan sisa pepejal secara mampan dan bukan berakhir selepas program sehari.

“Rekod boleh dicipta dalam sehari, tetapi budaya mengambil masa untuk dibina.

“Cabaran kita selepas ini ialah memastikan semangat HCM 2026 diterjemahkan kepada amalan setiap hari, iaitu jangan buang sampah, mengurangkan sisa dan menjadikan kitar semula sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

Pada 2024, HCM mencatat tiga rekod MBOR, iaitu penyertaan serentak paling ramai melibatkan 58,007 orang, kutipan sisa sebanyak 4,645 tan metrik dalam sehari dan operasi tanpa henti dari 8 pagi hingga 8 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top