Kempen Internet Selamat kini tampil dengan pendekatan rakan sebaya sebagai strategi utama untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan belia, sekali gus menjadikan penyampaian mesej lebih dekat, santai dan berkesan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, semua perserta kempen akan bertindak sebagai ejen penyampai mesej keselamatan siber kepada rakan sebaya.
“Kempen Internet Selamat memberi fokus kepada peningkatan kesedaran belia terhadap keselamatan dalam talian, termasuk ancaman penipuan digital, buli siber, penyebaran maklumat palsu dan risiko perkongsian data peribadi secara berlebihan.
“Pendekatan rakan sebaya ini dapat dilihat lebih dekat dengan kumpulan sasaran dan relevan dalam membentuk kesedaran, sekali gus meningkatkan impak penyampaian kepada golongan belia,” katanya.
MCMC berkata demikian dalam satu kenyataan sempena perasmian Kempen Internet Selamat oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP), Johor hari ini.
Setakat 31 Mac 2026, sebanyak 47 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di IPT seluruh negara dengan penyertaan seramai 23,196 mahasiswa.
Mengulas lanjut, MCMC berkata program berkenaan merupakan usaha berterusan Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk memperkasa belia menghadapi ancaman dunia digital.
Katanya, seramai 80 pelajar dan 20 fasilitator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Pagoh menyertai program itu.
Ini termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN).
“Program itu turut menampilkan pendekatan interaktif yang dikendalikan oleh fasilitator MPP.
” Antara pengisian utama ialah sketsa bertajuk Ops Kantoikan Scammer: Aku Bukan Mangsa Kau! yang memberi pendedahan secara santai tetapi berkesan mengenai taktik dan helah scammer serta langkah pencegahan,” katanya.
Kredit Gambar Utama: BERNAMA




