PARIS: Perancis menuduh Israel merosakkan hubungan dua hala selepas pasukan keselamatan Israel memasuki sebuah tapak suci di bawah pentadbiran Perancis di Baitulmaqdis dan menahan dua pegawai Perancis yang memiliki status diplomatik.Kejadian itu berlaku ketika Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, dijadualkan melawat kompleks Gereja Pater Noster di Bukit Zaitun.
Tapak itu, yang merupakan antara empat tapak yang diuruskan oleh Perancis di Baitulmaqdis adalah di bawah tanggungjawab Paris dan dianggap sebagai sebahagian dari Perancis.
Sumber diplomatik Perancis menyatakan bahawa pasukan keselamatan Israel diberitahu untuk tidak memasuki tapak itu sebelum lawatan Barrot.
Namun, mereka tetap memasuki tapak itu menyebabkan Barrot enggan memasuki kompleks itu yang dikenali sebagai Eleona dalam bahasa Perancis, selagi mereka masih berada di situ. Menurut sumber, dua pegawai keselamatan Perancis kemudian ditahan sementara sambil menyatakan bahawa pasukan pasukan keselamatan Israel tahu bahawa kedua-dua pegawai berkenaan adalah dari konsulat dan memiliki status diplomatik.
Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan menyatakan bahawa berlaku perselisihan antara pasukan keselamatan Israel dan dua pengawal keselamatan Perancis. Mereka dibebaskan serta-merta selepas mengesahkan bahawa mereka adalah diplomat.
Pertikaian ini memberikan bayangan terhadap hubungan diplomatik yang sudah pun tegang akibat operasi tentera Israel di Gaza dan Lebanon.
“Pelanggaran terhadap integriti tapak yang berada di bawah tanggungjawab Perancis berisiko merosakkan hubungan yang saya cuba jalin dengan Israel ketika kita semua perlu bergerak ke hadapan untuk membawa keamanan di rantau ini,” kata Barrot dengan nada marah di luar bangunan.
Kementerian Luar Israel berkata bahawa setiap pemimpin asing yang melawat Israel disertai oleh pasukan keselamata rejim itu, satu perkara yang telah “dijelaskan lebih awal dalam dialog persediaan dengan Kedutaan Perancis di Israel.”
Sumber diplomatik Perancis berkata, pihak berkuasa Israel sedang menyebarkan “tuduhan palsu” dan bahawa kejadian itu belum lagi dianggap selesai. Duta Israel ke Paris akan dipanggil dalam beberapa hari akan datang, kata kementerian luar Perancis dalam satu kenyataan.
Hubungan diplomatik antara Perancis dan Israel merosot sejak Presiden Emmanuel Macron menggesa menghentikan bekalan senjata kepada Israel yang digunakan di Gaza. Kerajaan Perancis juga cuba melarang syarikat senjata Israel mempamerkan produk mereka di satu pameran perdagangan di Paris dan semakin tidak selesa dengan tindakan Israel dalam perang di Gaza dan Lebanon.
Pegawai Perancis sering berkata bahawa Paris komited terhadap keselamatan Israel dan bahawa tentera mereka telah membantu mempertahankan Israel ketika serangan peluru berpandu dari Iran awal tahun ini.
Lawatan Barrot bertujuan untuk mendesak Israel agar terlibat dalam diplomasi untuk menghentikan konflik di rantau ini setelah pilihan raya Presiden Amerika Syarikat selesai.
Ini bukan kali pertama ketegangan timbul berkaitan pemilikan tapak sejarah Perancis di bandar tersebut.
Pada tahun 2020, Macron hilang sabar ketika melawat Gereja St Anne, satu lagi tapak di bawah pentadbiran Perancis, dengan meminta pasukan keselamatan Israel meninggalkan gereja di Baitulmaqdis.
Satu kejadian serupa berlaku pada 1996 melibatkan Presiden Perancis ketika itu, Jacques Chirac, yang menganggap perlakuan pasukan keselamatan Israel sebagai “provokasi”. – REUTERS









