Polis cari dalang bakar mercun depan Sogo, tak dapat sahkan itu cubaan sabotaj himpunan

Polis cari dalang bakar mercun depan Sogo, tak dapat sahkan itu cubaan sabotaj himpunan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan dalang kejadian bakar mercun ketika himpunan protes terhadap Tan Sri Azam Baki di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, petang tadi.

Ini termasuk tindakan mengumpulkan bukti-bukti yang ada di lokasi kejadian seterusnya mengesan pihak yang bertanggungjawab menimbulkan kekecohan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata setakat juga pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada wujud pihak yang cuba mensabotaj himpunan yang bermula jam 3 petang itu.

“Itu kita tak dapat pastikan dan kita akan siasat selain kita cuba timbulkan seberapa banyak bukti-bukti yang ada termasuk dari mana datangnya punca (pembekal) mercun berkenaan.

“Siasatan kes mercun ini akan kita teruskan dan untuk kita lengkapkan siasatan ini, kita akan panggil semua pihak termasuk penganjur dan kita mengalu-alukan mana-mana saksi-saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberikan maklumat,” katanya selepas perhimpunan berkenaan.

Rafizi dakwa ada pihak cuba sabotaj himpunan dengan bakar mercun

Dakwaan ini timbul selepas bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa bahawa insiden membakar mercun itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang cuba mensabotaj himpunan berkenaan.

Sazalee berkata, pihaknya juga turut menemui satu lagi mercun yang tidak sempat dibakar disembunyikan di kawasan pokok hiasan hadapan Sogo.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam perkembangan lain, Sazalee, berkata pihaknya menjangkakan seramai hampir 300 individu menyertai himpunan berkenaan yang dimulakan dari Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), iaitu hadapan Sogo menuju ke arah Dataran Merdeka.

“Apa yang boleh saya kongsikan setakat ini bahawa penganjur himpunan ini tidak membuat sebarang notis pemakluman kepada polis untuk menganjurkan himpunan ini.

“Namun kita akan lihat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang semasa perhimpunan berlangsung dan akan memanggil penganjur sekiranya terdapat sebarang kesalahan,” katanya.

Setakat jam 5.30 petang tadi, himpunan itu berakhir dalam keadaan aman dan terkawal.

Insiden membakar mercun berlaku semasa peserta himpunan bersedia untuk berarak menuju ke arah Dataran Merdeka.

Letupan berlaku secara tiba-tiba di tengah-tengah kerumunan peserta yang sedang berkumpul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top