40 monyet 'lari' dari pusat penyelidikan

40 monyet 'lari' dari pusat penyelidikan

Washington: Empat puluh monyet melarikan diri dari kemudahan penyelidikan di Alpha Genesis di Yemassee, Carolina Selatan pada malam Rabu.

Sky News melaporkan, sehubungan itu polis memberi amaran kepada orang ramai berhampiran lokasi untuk menghubungi talian kecemasan 911 dengan segera jika melihat monyet itu dan tidak “berinteraksi” dengan mereka.

Kamera pengimejan terma dan perangkap telah digunakan untuk menangkap semula haiwan itu.

“Penduduk dinasihatkan supaya menjaga pintu dan tingkap dalam keadaan selamat bagi menghalang haiwan ini daripada memasuki rumah,” polis memberi amaran di Facebook (FB).

Penduduk tempatan di Yemassee, kira-kira 80 kilometer (km) barat Charleston telah diberitahu untuk tidak mendekati monyet itu dan segera menghubungi 911 jika melihat monyet berkenaan.

Alpha Genesis berkata, ia menyediakan produk primat bukan manusia dan perkhidmatan penyelidikan bio dengan lebih daripada 40.5 hektar ruang kuarantin, pembiakan dan penyelidikan.

Ia menjalankan ujian klinikal, termasuk rawatan penyakit otak, dan mengatakan ia menyediakan “standard penjagaan tertinggi untuk semua haiwan”.

Baka yang melarikan diri belum didedahkan, tetapi tapak firma itu mengatakan ia mempunyai monyet baka kera dan capuchin.

Ini bukan kes pertama haiwan penyelidikan melarikan diri dari Alpha Genesis.

Menurut media tempatan 19 monyet dilaporkan melarikan diri pada 2016 sebelum dapat ditangkap semula enam jam kemudian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top