Budapest: Pelumba Mercedes, George Russell yakin pasukannya sudah menemui punca masalah yang menjejaskan prestasi jenteranya, sekali gus meningkatkan keyakinan menjelang Grand Prix (GP) Hungary hujung minggu ini.
Pelumba Britain itu berdepan detik mengecewakan pada GP Belgium apabila kehilangan kelajuan di laluan lurus seawal pusingan pertama sebelum perlumbaannya berakhir selepas terbabit dalam kemalangan dengan pelumba Ferrari, Lewis Hamilton.
Russell berkata, maklum balas diterima daripada kilang Mercedes memberikan keyakinan bahawa masalah berkenaan sudah dikenal pasti dan diselesaikan.
“Tiga hari kemudian saya berasa lebih baik dan gembira kerana kami akhirnya memperoleh jawapan positif daripada pihak kilang. Kini kami hanya perlu memandang ke hadapan,” katanya.
Menurut Russell, isu itu berpunca daripada tetapan perisian unit kuasa yang sangat sukar dikesan berikutan kerumitan teknologi enjin generasi baharu Formula Satu.
“Ada sesuatu yang tersembunyi dalam kalibrasi kod perisian. Ia hampir mustahil untuk dikesan melainkan anda benar-benar tahu apa yang perlu dicari. Saya gembira kami akhirnya menemuinya.
“Sudah tentu apa yang berlaku di Belgium mengecewakan, tetapi sekarang saya hanya mahu memberi tumpuan kepada perlumbaan seterusnya,” katanya.
Russell bagaimanapun menjelaskan keyakinannya berdasarkan data yang diperoleh pasukan, namun mengakui sistem unit kuasa baharu jauh lebih kompleks berikutan perubahan peraturan teknikal.
Selepas 10 pusingan musim ini, Russell berada di tangga ketiga kejuaraan dunia dengan mengumpul 50 mata di belakang rakan sepasukan yang juga pendahulu keseluruhan, Kimi Antonelli.
Pelumba berusia 28 tahun itu berkata, masalah teknikal yang dihadapi sebelum ini memaksanya mengubah gaya pemanduan sehingga mengganggu rentak perlumbaan.
“Saya rasa inilah tahap ketahanan mental terbaik yang pernah saya miliki sepanjang hidup. Saya bangga dengan kekuatan mental saya di luar litar,” katanya.
Russell turut mempertahankan luahan emosinya menerusi radio pasukan ketika GP Belgium, sambil mengakui bahasa yang digunakan mungkin kurang sesuai tetapi ia berlaku ketika berada dalam tekanan.
“Seluruh pasukan sentiasa menyokong saya dan saya juga menyokong mereka. Saya sudah lama menyuarakan isu ini sebelum dan ketika di Spa, dan akhirnya kami berjaya membuktikan memang wujud masalah pada jentera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




