kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Perubahan monsun dan faktor cuaca ketika ini tidak menjejaskan harga sayur di pasaran, malah dilihat kekal stabil tanpa lonjakan mendadak.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Dato Keramat dan Pasar Chow Kit mendapati harga sayur tidak banyak berubah dan kekal stabil walaupun terdapat sedikit kenaikan bagi beberapa jenis sayuran.
Peniaga sayur Pasar Dato Keramat, Sudami Suti, 60 berkata, harga sayur seperti bendi terdapat penurunan harga dijual hanya RM3 sekilo berbanding RM4.50 sebelum ini.
Katanya, bagaimanapun harga kobis naik ketara mencecah RM67 seguni daripada harga biasa RM32.
“Kemungkinan bekalan kobis kurang, jadi harganya naik, begitu juga daun sup agak tinggi berbanding minggu lalu kini mencecah RM8.50 sekilogram berbanding hanya RM4.
“Tetapi sayur lain seperti kangkung, bayam, kacang panjang kekal sama pada sekitar RM4 sekilogram, manakala buncis yang sebelum ini dijual pada RM15 kini ditawarkan pada harga RM9,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, kadangkala harga sayur akan naik sedikit pada hujung minggu, namun minggu ini kekal stabil dan kebanyakan sayur dijual pada harga lebih rendah.
Sementara itu, peniaga sayur, Sopian Apendi, 40 berkata, walaupun cuaca tidak menentu, ia tak banyak memberi kesan pada harga sayur yang dijual buat masa ini.
Sopian turut menyatakan harga sayur kobis sedikit naik berbanding minggu lalu iaitu harga dijual sekitar RM5 ke RM6 sekilogram berbanding hanya RM3 sebelumnya.
“Bendi pula turun harga sekitar RM6 berbanding RM8 sekilogram, bergantung pada kualiti dan asal produk.
“Cili merah besar pula harga RM10 sekilogram sama seperti sebelumnya dan saya menjual cili dari Thailand, manakala cili tempatan sedikit lebih tinggi pada RM13 hingga RM14 sekilogram,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya untuk minggu ini harga masih lagi seperti biasa dan rata-rata peniaga tidak mengalami kenaikan drastik pada harga sayuran.
“Ada sedikit perubahan harga untuk beberapa sayuran, tapi kami cuba jaga harga agar pelanggan tak terasa beban,” katanya.
Bagi peniaga sayur di Chow Kit, Jamal Saleh, 25 berkata, buat masa ini harga dan bekalan sayur masih seperti biasa.
Menurutnya, semua sayur yang dijual rata-rata harga di bawah RM5 sekilo antaranya tomato, kangkung, bayam dan lobak merah.
“Bagi cili merah besar kami jual antara RM10 ke RM12 mengikut jenis dan gred,” katanya.
Semalam Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini menyaksikan taburan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di pantai timur serta Sabah dan Sarawak.
MetMalaysia menjangkakan dalam tempoh itu, negeri berkenaan dijangka menerima taburan hujan antara 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kadar biasa.
Manakala bagi negeri di Semenanjung, tempohnya bermula penghujung November sehingga awal Januari depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




