Shazmir-Aina mara final, buru gelaran

Shazmir-Aina mara final, buru gelaran

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Irfan Shazmir- Nur Aina Maisarah Hatta melangkah ke final Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2026 selepas menampilkan aksi bertenaga di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Shazmir-Aina tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan wakil Indonesia, Faza Iwadh Kurnia Ramdhan-Rachel Machalul Cahya Ayu 21-7, 21-13 dalam tempoh 24 minit pada aksi separuh akhir.

Kemenangan itu turut mengejutkan pasangan negara berkenaan yang mengakui tidak menyangka mampu melangkah sejauh itu dalam kejohanan berkenaan.

“Kami akan menggunakan segala yang dipelajari ketika berdepan lawan esok dan berharap dapat memenangi gelaran,” kata Shazmir.

Aina pula mengakui kehadiran ibu bapanya yang hadir memberi sokongan menjadi antara pembakar semangat buatnya untuk terus berjuang.

“Kami akan cuba sedaya upaya mengurangkan kesilapan sendiri dan membaca permainan dengan lebih baik,” katanya.

Satu lagi pasangan Malaysia, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad-Teh Si Yan turut menempah tiket ke final selepas menewaskan rakan senegara, Isyraf Hafizin-Lee Joinne 21-6, 18-21, 21-15 dalam tempoh 43 minit.

Dalam acara perseorangan wanita, wakil Thailand, Kungkaew Kakanik menamatkan cabaran Lee Kay Xin selepas menang 22-20, 21-15 dalam tempoh 44 minit.

Sementara itu, Tiew Wei Jie memastikan kemaraan ke final perseorangan lelaki selepas menundukkan seorang lagi pemain negara, Lee Louis 21-14, 21-12 dalam tempoh 44 minit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top