'TikToker' bukan kerabat Kelantan – PKDK

'TikToker' bukan kerabat Kelantan – PKDK

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan (PKDK) menafikan dakwaan netizen yang mengaitkan seorang ‘TikToker’ mempunyai tali persaudaraan dengan kerabat diraja Kelantan.

Dalam hantaran yang dibuat pemilik akaun bernama ‘Insan Biasa Luar Biasa’, sebahagian video TikToker yang bernama ‘@_carreyfarjery’ yang mengulas berhubung kes enam rakyat Kelantan yang ditahan di Sungai Golok baru-baru ini dimuat naik dan menerima banyak komen termasuk mendakwa TikToker itu adalah kerabat diraja Kelantan.

Wakil PKDK Tunku Mohammed Nazarin Tunku Yusoff berkata, banyak komen dalam video yang dimuatnaik ‘Insan Biasa Luar Biasa’ itu menyatakan TikToker terbabit ada pertalian dengan kerabat diraja Kelantan termasuk anak saudara Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

“Selain pemilik akaun itu mendakwa TikToker terbabit adalah anak saudara Tengku Anis, ada juga netizen lain yang turut menyatakan beliau adalah sepupu Sultan Kelantan.

“Kami mewakili PKDK menafikan semua dakwaan itu dan menyatakan TikToker terbabit tiada hubungan persaudaraan dengan kerabat diraja Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Kota Bharu membuat laporan berhubung perkara itu.

Tunku Mohammed Nazarin berkata, laporan itu dibuat bukanlah untuk menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sebaliknya untuk menjelaskan kekeliruan yang berlaku dalam kalangan pengikut TikToker terbabit.

Menurutnya lagi, TikToker itu juga tidak tampil menafikan dakwaan berkenaan atau membetulkan salah faham netizen dan bersikap mendiamkan diri dalam hal terbabit.

“Malah ada videonya yang hadir dalam majlis ulang tahun kelahiran Tengku Salwani iaitu ibu saudara Sultan Kelantan baru-baru ini dan membahasakan sebagai ‘bonda’ seolah-olah mengiyakan dakwaan orang ramai.

“Kami bimbang akan menjejaskan imej istana Kelantan kerana TikToker terbabit kerap membuat siaran langsung mengulas mengenai isu penangkapan enam rakyat Kelantan di Sungai Golok.

“Dibimbangi rakyat akan melihat bahawa pihak istana (Kelantan) cuba masuk campur dalam kes yang sedang disiasat itu sekali gus dibimbangi mengeruhkan hubungan antara dua negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top