Glasgow: Di sebalik senyuman dan raut wajah yang tenang, tersimpan debaran besar dalam diri atlet angkat berat wanita negara Irene Jane Henry yang sedang menghitung detik untuk membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, esok.
Rasa gementar dan takut tetap menyelubungi dirinya, namun atlet muda yang semakin mencipta nama itu enggan membiarkan emosinya menghakis semangat juang untuk mengharumkan nama negara.
Irene berkata beliau mempunyai cara tersendiri untuk menenangkan fikiran apabila tekanan dan kegelisahan mula dirasai menjelang pertandingan, termasuk ketika berada di atas platform.
“Ada rasa gementar dan sedikit takut, tetapi saya gembira kerana dapat berada di sini.
“Biasanya (bila gementar di atas platform) saya akan cuba mengawal pernafasan. Selain itu, saya juga mendengar lagu atau menonton filem untuk menenangkan diri,” katanya yang akan beraksi dalam acara 48 kilogram (kg) wanita ketika ditemui Bernama hari ini.
Biarpun ini adalah penampilan sulungnya di Sukan Komanwel, Irene tidak hadir sekadar melengkapkan penyertaan.
Sebaliknya, atlet kelahiran Sabah berusia 21 tahun itu membawa misi besar untuk memperbaharui rekod peribadi angkatan keseluruhan 169kg, selain memasang impian untuk menaiki podium dengan sekurang-kurangnya meraih pingat perak.
“Saya mahu memperbaharui rekod peribadi dan, sekiranya boleh, memenangi pingat. Sasaran saya sekurang-kurangnya pingat perak. Jumlah angkatan terbaik saya sebelum ini ialah 169kg. Jadi, untuk pertandingan esok, saya mensasarkan jumlah melebihi 170kg,” katanya.
‘
Di sebalik tekad memburu kejayaan di Glasgow, Irene turut membawa bersama doa, sokongan dan pesanan keluarga yang menjadi sumber kekuatannya dalam menghadapi cabaran di pentas pertandingan.
Dia berkata kata-kata semangat daripada ibunya sentiasa tersemat di hati dan menjadi pembakar semangat untuk memberikan aksi terbaik demi mengharumkan nama Malaysia.
“Mereka selalu berpesan supaya saya memberikan yang terbaik pada pertandingan esok dan terus kuatkan semangat. Itu yang sering ibu saya katakan,” kata pemenang pingat emas Kejohanan Angkat Berat Asia Tenggara 2025 itu.
Saingan angkat berat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung selama lima hari bermula esok di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




