Duma Boko angkat sumpah sebagai Presiden Botswana

Duma Boko angkat sumpah sebagai Presiden Botswana

Gaborone: Orang ramai membanjiri Stadium Nasional di Gaborone, Botswana pada Jumaat untuk menyaksikan upacara pelantikan Duma Boko sebagai presiden keenam negara Afrika Selatan itu, lapor Xinhua.

Dalam majlis itu, Boko berjanji bahawa pemerintahannya akan mewujudkan masa depan yang lebih cerah dengan sokongan rakyat.

“Kami akan membina Botswana yang kita semua impikan. Anda memberikan saya kekuatan dan harapan, dan saya bersedia untuk mengembalikan kekuatan dan harapan itu kepada anda seribu kali ganda.

“Saya katakan, beranilah untuk bermimpi tentang masa depan yang lebih cerah, dan mari kita mengorak langkah ke arah itu bersama-sama,” katanya.

Boko memuji Mokgweetsi Masisi, atas peralihan kuasa yang lancar, menyifatkannya sebagai lambang demokrasi yang sentiasa menjadi kebanggaan negara.

Beliau juga menyeru perpaduan dan sokongan seluruh negara untuk kerajaan baharu dalam melaksanakan mandatnya untuk memperbaiki kehidupan rakyat Botswana, serta menggesa setiap warganegara memainkan peranan dalam membangunkan ekonomi.

Upacara itu turut dihadiri pemimpin dan pegawai kanan dari negara jiran termasuk Presiden Zimbabwe Emmerson Mnangagwa, Presiden Namibia Nangolo Mbumba, Presiden Zambia Hakainde Hichilema, dan Timbalan Presiden Afrika Selatan Paul Mashatile.

Bekas Presiden Botswana, Masisi, Seretse Khama Ian Khama, dan Festus Mogae serta bekas menteri Kabinet dan anggota Parlimen turut hadir menyerikan acara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top