am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 25 syarikat pembungkusan minyak masak subsidi ditarik semula kuota oleh kerajaan antara Januari hingga Oktober lalu susulan pelbagai kesalahan dan pelanggaran ke atas syarat-syarat pemegang kuota.
Malah, sebanyak 13 syarikat pembungkusan digantung kuota berikutan kertas siasatan yang dibuka pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap syarikat berkenaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, KPDN juga sedang meneliti dan menimbangkan beberapa syarikat pembungkusan yang masih disiasat bagi tujuan penggantungan dan penarikan kuota.
“Penarikan dan penggantungan kuota adalah salah satu bentuk tindakan punitif yang dikenakan kepada syarikat pembungkusan kerana melanggar syarat-syarat pemegang kuota sebagai peserta di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
“Syarikat berkenaan boleh dikenakan hukuman lebih berat iaitu tindakan perundangan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, sekiranya didapati melanggar peraturan-peraturan dan syarat khas lesen,” katanya.
Beliau berkata, KPDN sentiasa memantau ketirisan melalui sistem eCOSS selain meningkatkan pemeriksaan, naziran dan pengauditan ke atas syarikat pembungkus minyak masak bertujuan mengekang ketirisan ini berlaku secara berleluasa.
“Hasil tindakan penguatkuasaan dan maklumat yang diperolehi, terdapat segelintir syarikat pembungkus, pemborong dan pembekal didapati terbabit dalam aktiviti ini (penyelewengan).
“Keuntungan lumayan hasil kegiatan haram ini menjadi faktor utama (penyelewengan) selain boleh mendapatkan wang tunai dengan serta merta. Pada masa sama, pembekal berkaitan minyak masak subsidi turut membuat tuntutan bayaran subsidi daripada Kerajaan,” katanya.
Katanya, kebiasaan pengedaran minyak masak paket 1 kg melalui rantaian pengedaran dilantik dan mempunyai dokumen atau lesen yang sah mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) iaitu daripada pengilang kepada pembungkus dan pemborong, sebelum sampai kepada peruncit.
“Hasil daripada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan, pihak Kementerian turut mengesan aktiviti penyelewengan di peringkat pengilang dan pembungkus, iaitu penghantaran bekalan minyak masak dialihkan ke pasaran komersial melalui pemalsuan dokumen.
“Di samping itu, pengedaran bekalan minyak masak daripada pemborong kepada peruncit turut didapati diseleweng dengan kaedah penipuan dokumentasi yang sama,” katanya.
Susulan itu menurutnya, pelbagai kaedah digerakkan kerajaan bagi memerangi sindiket penyeludupan minyak masak subsidi termasuk mewajibkan penggunaan sistem eCOSS kepada seluruh rantaian bekalan minyak masak paket bersubsidi.
Fuziah berkata, bermula 1 Januari 2023, KPDN mewajibkan penggunaan sistem eCOSS bagi merekodkan transaksi seperti kuantiti dan harga jualan di setiap peringkat rantaian pengedaran iaitu bermula kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit.
Beliau berkata, tindakan tegas termasuk membuat sekatan terhadap syarikat di dalam sistem eCOSS akan diambil sekiranya didapati ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menyorok dan menyeleweng bekalan minyak masak paket bersubsidi.
“Turut dilaksanakan adalah penggantungan atau pembatalan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) dan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) dalam tempoh siasatan sebagai langkah tegas kepada pihak terbabit kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta 122.
“KPDN juga sudah mengeluarkan Arahan Pengawal berhubung kawalan ke atas penjualan minyak masak bungkusan polibeg 1 kilogram (kg). Ia dihadkan sebanyak tiga unit per transaksi sehari iaitu bagi sekali pembelian untuk setiap pelanggan.
“Tindakan kawalan ini sebagai langkah untuk memastikan lebih ramai pengguna berpeluang mendapatkan bekalan dan membeli minyak masak paket 1 kilogram.
“Di samping itu, pada 2022 KPDN menguatkuasakan larangan eksport minyak masak tulen polibeg bagi mengekang ketirisan minyak masak bersubsidi di sempadan negara,” katanya kepada Harian Metro.
‘Sabotaj’ kerajaan
Penyelewengan berterusan minyak masak subsidi disifatkan ‘sabotaj’ kepada kerajaan selain penganiayaan terhadap kebajikan rakyat berpendapatan rendah di negara ini.
Perkara itu diakui kerajaan yang masih berusaha mencari formula terbaik bagi mengekang isu yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit subsidi kerajaan untuk membantu rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kementeriannya tidak menafikan masih berlaku ketirisan dan penyelewengan ke atas barang kawalan bersubsidi minyak masak paket 1 kilogram (kg) meskipun penguatkuasaan berterusan dan agresif dilaksanakan.
Menurutnya, berdasarkan rekod, sebanyak 60,000 metrik tan (MT) sebulan bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan diberikan subsidi kepada 32.7 juta rakyat Malaysia.
“Agihan mengikut negeri dikira berdasarkan bilangan penduduk dan kadar penggunaan satu individu bersamaan dengan 1.5 kg minyak masak sebulan.
“Jumlah dan pengagihan itu sepatutnya mencukupi untuk menampung keperluan domestik minyak masak bersubsidi bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Namun, ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menyeleweng sebahagian subsidi yang diperuntukkan kerajaan terutama minyak masak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




