Paris: Penganjur Terbuka Perancis enggan berganjak untuk tidak menaikkan wang hadiah kemenangan bagi edisi tahun ini walaupun berdepan kritikan daripada pemain, kata pengarah kejohanan, Amelie Mauresmo.
Beberapa bintang tenis dijangka akan mengehadkan sidang media mereka menjelang Grand Slam gelanggang tanah liat itu sebagai tanda protes susulan dakwaan wang hadiah kemenangan yang diterima terlalu rendah.
Pemain mendakwa mereka ketika ini hanya menerima 15 peratus daripada hasil pendapatan semasa kejohanan utama, sambil menuntut kadar itu dinaikkan kepada 22 peratus.
“Kami tidak akan berganjak,” kata Amelie kepada pemberita ketika majlis undian kejohanan di Paris sambil mengakui beliau sedikit kecewa dengan situasi berkenaan.
“Kami sudah menggandakan jumlah wang hadiah dalam tempoh 10 tahun, dan peningkatan yang ketara dapat dilihat sejak kebelakangan ini,” katanya lagi.
Pemain nombor satu dunia lelaki, Jannik Sinner, awal bulan ini menggesa kejohanan Grand Slam itu supaya menunjukkan ‘rasa hormat’ kepada pemain.
Pemain nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka turut berkata di Terbuka Itali bahawa pemain mungkin perlu memboikot empat kejohanan terbesar dunia iaitu Terbuka Australia, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Wimbledon bagi mempertahankan hak mereka.
“Kami biasanya tidak memandang ringan apa yang disuarakan pemain. Saya yakin dengan perbincangan yang akan berlangsung dan yang sudah pun diadakan,” tambah Mauresmo.
Terbuka Perancis yang juga kejohanan Grand Slam kedua tahun ini, akan membuka tirai di Roland Garros pada Ahad ini. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




