puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Marsha Milan mencuri perhatian netizen apabila menyanyikan lagu rasmi (anthem) kelab bola sepak Arsenal berjudul The Angel (North London Forever).
Lagu berkenaan adalah nyanyian asal penyanyi/penulis lirik Louis Dunford yang juga peminat setia Arsenal.
Menerusi hantaran video suaminya, Mohamed Shaiful Nizam di Tiktok, semalam, Marsha yang memakai jersi Arsenal berwarna biru itu dilihat begitu bersemangat dan penuh penghayatan ketika menyanyikan lagu berkenaan.
“Marsha Milan singing ‘North London Forever’ hits different when Arsenal are Champions of England (Marsha Milan menyanyikan lagu ‘North London Forever’ terasa lain bila Arsenal bergelar Juara England),” tulisnya di ruangan kapsyen pada video berkenaan.
Lebih mencuri perhatian, perkongsian video pendek itu dihujani pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya teruja melihat Marsha menyanyikan lagu berkenaan untuk suaminya yang meminati Arsenal.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata penyokong penyokong The Gunners memuji keyakinan Marsha, malah menyifatkan nyanyiannya memberikan aura yang cukup luar biasa, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan kedudukan kelab berkenaan.
Terdahulu, kelab Arsenal yang memperoleh kemenangan awal bagi Liga Perdana Inggeris disifatkan sebagai satu kejayaan yang besar selepas 22 tahun ditunggu oleh peminat-peminatnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




