am@hmetro.com.my
Seremban: Pengasuh wanita yang videonya tular kerana memaksa kanak-kanak duduk di luar rumah dan memukul mangsa sudah ditahan polis di kediamannya di Sendayan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ibu bapa mengenalpasti mangsa adalah anak mereka menerusi video yang tular sebelum menyalurkan maklumat kepada polis.
“Kira-kira jam 8 malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan berhubung kejadian penderaan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
“Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan di Seremban.
“Kejadian disedari ibu bapa mangsa selepas melihat rakaman video berdurasi seminit 15 saat yang tular di media sosial” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alzfany berkata, rakaman video berkenaan memaparkan seorang wanita bertindak memukul seorang kanak-kanak lelaki di bahagian belakang sebuah rumah.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dihantar ibu bapanya untuk diasuh di rumah suspek yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka sejak kira-kira tujuh bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Menurutnya, bertindak atas maklumat dan siasatan, polis menahan seorang wanita berusia 60 tahun jam 9.45 malam di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Seremban pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
“Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kamarul Ariffin Kamaruzaman di talian 06-6033222,” katanya.
Media semalam melaporkan tular video menyayat hati memaparkan seorang kanak-kanak diletakkan di luar bahagian belakang rumah dan dikatakan dipukul seorang wanita dipercayai pengasuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




