Petaling Jaya: Setiap hari, pelbagai jenis sisa seperti pakaian lama, fabrik terpakai, bekas plastik dan minyak masak terpakai dibuang tanpa disedari bahawa sebahagiannya masih mempunyai potensi untuk diberikan “nyawa kedua”. Jika diuruskan secara kreatif dan lestari, bahan-bahan ini boleh diubah menjadi produk baharu yang bermanfaat kepada komuniti dan alam sekitar.
Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) terus menyokong usaha kelestarian melalui pelbagai aktiviti pendidikan komuniti yang menekankan konsep kitaran ekonomi, upcycle, dan penggunaan semula bahan buangan secara lebih bertanggungjawab.
Antara inisiatif yang dijalankan termasuk program bersama komuniti dan sekolah sekitar Seberang Perai Utara yang memberi pendedahan serta pengalaman praktikal kepada peserta tentang bagaimana bahan terpakai boleh diubah menjadi produk baharu yang berguna. Melalui bengkel yang dianjurkan, peserta didedahkan kepada aktiviti mengolah semula tekstil terpakai menjadi beg, kerongsang, reben, dan pelbagai produk kreatif lain yang mempunyai nilai guna semula.
Selain tekstil terpakai, minyak masak terpakai juga merupakan antara sisa domestik yang sering dipandang ringan walaupun mempunyai potensi besar untuk dikitar semula menjadi produk bernilai seperti biodiesel dan sabun. Jika dibuang terus ke sinki atau saliran, minyak masak terpakai boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan menjejaskan sistem perparitan. Namun melalui pendekatan yang betul, ia sebenarnya boleh dimanfaatkan semula secara lebih lestari.
Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, bengkel penghasilan sabun daripada minyak masak terpakai turut dijalankan bersama komuniti. Menariknya, antara maklum balas yang sering diterima daripada peserta ialah ramai sebenarnya berminat untuk mencuba aktiviti tersebut, tetapi berasa sukar atau kurang yakin untuk bermula sendiri. Ada yang menyatakan mereka tidak tahu bahan yang perlu dibeli, tidak pasti tentang tatacara yang selamat, dan bimbang sekiranya proses tersebut terlalu rumit untuk dilakukan di rumah. Malah, ada juga yang tidak menyangka bahawa sabun sebenarnya boleh dihasilkan sendiri dengan kaedah yang mudah dan praktikal.
Menyedari cabaran tersebut, PKTAAB mengambil inisiatif membangunkan EcoSoap Kit bagi memberikan peluang dan kemudahan yang lebih mudah kepada masyarakat untuk mencuba sendiri aktiviti penghasilan sabun secara tersusun, selamat, dan mesra pengguna. EcoSoap Kit dibangunkan bukan sekadar sebagai kit penghasilan sabun, tetapi sebagai medium pendidikan lestari yang menggabungkan elemen sains, kesihatan, kreativiti dan kesedaran alam sekitar dalam bentuk aktiviti hands-on yang mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Melalui aktiviti ini, peserta bukan sahaja berpeluang mempelajari konsep asas kimia dan biologi dalam konteks kehidupan sebenar, malah turut didedahkan kepada kepentingan penjagaan kesihatan dan pengurusan sisa secara bertanggungjawab. Pendekatan ini membantu masyarakat memahami amalan kelestarian dengan cara yang lebih praktikal dan mudah diaplikasikan dalam kehidupan harian.
Dr. Siti Razila Abdul Razak, Pensyarah Kanan di USM yang juga merupakan Pegawai Kelestarian USM serta Ketua Projek Waste Management Sains@Bertam, PKTAAB berkata, pendekatan pembelajaran secara praktikal dan santai mampu membantu masyarakat memahami konsep kelestarian dengan lebih mudah dan dekat dengan kehidupan harian. Menurut beliau, ramai sebenarnya mempunyai minat untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, namun tidak tahu bagaimana untuk memulakan langkah pertama. Oleh itu, pendekatan yang lebih santai, praktikal dan mesra komuniti amat penting bagi membantu masyarakat mencuba sendiri aktiviti lestari di rumah atau dalam komuniti masing-masing.
Selain digunakan dalam program komuniti dan sekolah, EcoSoap Kit juga sesuai dijadikan aktiviti bersama keluarga di rumah. Dalam kesibukan rutin harian dan penggunaan gajet yang semakin meningkat, aktiviti seperti ini boleh menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa, anak-anak, adik-beradik, dan ahli keluarga melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. Melalui aktiviti ini, anak-anak bukan sahaja dapat mempelajari asas sains dan kreativiti dalam suasana yang santai, malah turut didedahkan kepada nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar sejak usia muda.
Inisiatif ini juga selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) antaranya SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan. Pendekatan berasaskan pendidikan komuniti dan penggunaan semula bahan terpakai ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan gaya hidup lestari.
Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia ini, diharapkan lebih banyak pihak akan bersama-sama memainkan peranan dalam membudayakan amalan penggunaan semula, pengurangan sisa, dan inovasi lestari dalam kehidupan harian. Kadangkala, perubahan besar terhadap alam sekitar bermula daripada langkah kecil di rumah sendiri termasuk daripada sesuatu yang sering dianggap sebagai “sisa”.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Siti Razila Abdul Razak, Pensyarah Kanan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM).



