Hatrik Kean julang Fiorentina

Hatrik Kean julang Fiorentina

Milan: Penyerang Itali, Moise Kean, meledak dengan menjaringkan semua tiga gol dalam kemenangan 3-1 Fiorentina ke atas Verona membawa pasukannya dikedudukan sama dengan pendahulu Serie A, Napoli.

Kean, yang menjaringkan 11 gol dalam semua aksi sejak menyertai Fiorentina dari Juventus pada musim panas, mencatatkan hatrik pertama dalam karier profesional dan mengangkat pasukannya ke tangga ketiga menerusi 25 mata selepas meraih kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan liga.

Kean membuka akaun jaringan pada minit ke-4 di Florence dengan penyudahan yang cantik dan selepas Suat Serdar menyamakan kedudukan pada minit ke-18, pemain itu menjaringkan gol kedua dengan sepakan akrobatik ketika hampir sejam permainan.

Pemain berusia 24 tahun itu yang bangkit semula di Tuscany selepas gagal menjaringkan sebarang gol untuk Juventus musim lalu, melengkapkan hatrik pada masa kecederaan dengan menerima hantaran dari penjaga gol David de Gea sebelum meluru ke hadapan dan melepaskan rembatan padu ke gol.

Fiorentina di bawah Raffaele Palladino dan Atalanta di tempat kedua terikat dengan 25 mata. Walaupun kedua-dua pasukan mempunyai perbezaan gol yang lebih baik, mereka tidak dapat mengakhiri aksi di puncak kerana telah bermain satu perlawanan lebih banyak.

Atalanta, yang menang 2-1 ke atas Udinese, tidak dapat memimpin liga pada hujung minggu ini kerana Inter berada satu mata di belakang mereka di tempat keempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top