KPDN keluar notis terhadap premis tular jual air isotonik RM3.60 sebotol

KPDN keluar notis terhadap premis tular jual air isotonik RM3.60 sebotol

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan notis terhadap pemilik sebuah stesen minyak yang didakwa menjual minuman isotonik pada harga tinggi seperti tular di media sosial.

KPDN Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya terkesan siaran langsung pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di media sosial yang menunjukkan minuman itu dijual RM3.60 sebotol.

“Pasukan penguat kuasa segera digerakkan ke lokasi dan mendapati kedai serbaneka di stesen minyak itu menjual pelbagai barangan runcit antaranya makanan, minuman dan lain-lain lagi.

“Melalui siasatan awal, pengurus mengesahkan kedai serbanekanya yang ditularkan pemimpin NGO terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati minuman isotonik berisipadu 500 mililiter (ml) dijual dengan harga RM3.60 sebotol dan tanda harga adalah jelas untuk dilihat pelanggan. Pemeriksaan juga mendapati kedai serbaneka itu menawarkan promosi ke atas beberapa barangan termasuk minuman pada harga RM4.50 bagi dua botol,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, katanya, KPDN mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan bagi mendapatkan dokumen terperinci berhubung harga kos, maklumat pembekal, harga jualan dan margin keuntungan kepada pengurus premis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Pada masa sama, premis juga diberikan nasihat supaya sentiasa mengemaskini penandaan harga jika terdapat perubahan harga setiap jenis makanan serta caj perkhidmatan dan memberikan maklumat harga yang jelas ke atas barangan jualan.

Pihak KPDN Kuala Lumpur menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan menerusi https://eaduan.kpdn.gov.my atau Pusat Panggilan KPDN di talian 1800886800 atau e-mel ke e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN atau talian hotline 03-88826088/6245 dan WhatsApp di talian 019-8488000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top