Rawang: “Mereka cuma ikut sama berlakon dalam video untuk suka-suka saja dan bukan kerana bekerja dengan saya atau ada maksud lain.”
Itu kata wanita dikenali sebagai Puteri, 28, juga pemilik gerai Puteri’s Cafe berkaitan video parodi pelajar tahfiz dari Madrasah Tahfiz Darul Zikri, Bandar Tasik Puteri di sini, dimuat naiknya di TikTok.
Menerusi video itu, kelihatan pelajar melakonkan watak penjual dan pembeli seperti satu trend pernah tular di media sosial.
Perkongsian video itu meraih lebih 3.2 juta tontonan dengan rata-rata terhibur melihat kecomelan juga gelagat pelajar tahfiz dikenali Fayyadh, 9, Faqeh, 12, Luqman, 13, dan Danish, 14.
Bercerita lanjut, Puteri berkata, dia tenaga pengajar di madrasah itu dan pelajar berkenaan anak didiknya.
“Pelajar teruja dan tawar diri untuk buat ‘content’ (perkongsian) TikTok, jadi saya rakam kemudian muat naiknya.
“Tak sangka ramai teruja dan kata video itu lain daripada yang lain. Ada mesej cuba disampaikan dalam video berkenaan iaitu bersabar dalam apa juag keadaan,” katanya dihubungi Harian Metro.
Menurut Puteri, sejak video itu tular, gerainya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Alhamdulillah, ramai yang singgah ke gerai yang saya usahakan dengan suami (Abd Rahman Abas, 40) dan setakat ini, kami menjual shawarma selain minuman kopi serta matcha,” katanya.
“Kami berniaga di rumah selama dua tahun sebelum buka gerai pada September lalu. Perniagaan ini tiada kaitan dengan pelajar serta madrasah, cuma anak tahfiz selalu ke gerai untuk memeriahkan suasana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




