'Pemandu Ativa tak tekan brek, tak hon sebelum langgar Zaharif' – Saksi

'Pemandu Ativa tak tekan brek, tak hon sebelum langgar Zaharif' – Saksi

am@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang remaja lelaki memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa pemandu Perodua Ativa tidak menekan brek sebelum melanggar pelajar Tingkatan Lima, Zaharif Affendi Muhd Zamrie, Disember tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata, sebelum perlanggaran berlaku, tiada sebarang bunyi hon daripada kereta Ativa atau tanda-tanda kenderaan terbabit menekan brek.

Menurutnya, dia kemudiannya melihat bahagian bampar (bumper) tengah Ativa berkenaan melanggar lampu belakang motosikal ditunggang Zaharif sebelum menggilis mangsa, namun tidak pasti bahagian badan mana yang terkena tayar kenderaan itu.

Selain itu, saksi itu berkata, dia tidak pasti keadaan kerosakan pada motosikal mangsa serta kerosakan pada Ativa selepas perlanggaran itu kerana tumpuannya terarah kepada mangsa.

Perkara itu dimaklumkannya ketika menjawab soalan peguam M Athimulan semasa pemeriksaan balas di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ketujuh prosiding perbicaraan, hari ini.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwaan Raya Afzainizam Abdul Aziz, saksi itu bagaimanapun menjelaskan kemalangan itu berlaku dengan laju.

Afzainizam: Tadi peguam soal kamu perasan kereta cuba brek atau tidak, jawapan kamu ‘saya tidak pasti’. Kemudian saya rujuk pernyataan bertulis, ‘sebelum perlanggaran berlaku, tiada hon atau tanda-tanda kereta Ativa tekan brek’. Tolong jelaskan kenapa kamu bagi dua jawapan berlainan.

Saksi: Kerana sewaktu itu apa yang saya nampak kereta Ativa dibawa dengan laju dan gilis (mangsa) dan situasi berlaku dengan laju.

Afzainizam: Ada brek atau tidak?

Saksi: Tiada

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember tahun lalu.

Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Prosiding perbicaraan bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top