Sukarelawan Orang Asli janji terus cari Jaslinda meskipun SAR mungkin dihentikan nanti

Sukarelawan Orang Asli janji terus cari Jaslinda meskipun SAR mungkin dihentikan nanti

Tapah: Sukarelawan Orang Asli yang menghulurkan bantuan menjejaki Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih dekat sini, berjanji akan meneruskan pencarian meskipun operasi mencari dan penyelamat (SAR) mungkin dihentikan suatu hari nanti.

Perkara berkenaan dinyatakan mereka kepada penyelaras sukarelawan berkenaan yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi masyarakat Orang Asli, Chew Ho Beng sebelum memulakan perjalanan mengesan jejak pendaki wanita itu.

Chew berkata kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada 22 Orang Asli suku Semai itu berpandangan kawasan sekitar Gunung Batu Putih terutama Kem Sukaneka dan Gunung Rayu masih menjadi lokasi tumpuan pencarian berdasarkan pengalaman dan petunjuk awal yang diperoleh ketika operasi dijalankan.

“Firasat mereka (sukarelawan Orang Asli) kuat mengatakan mangsa (Jaslinda) masih ada di kawasan Gunung Batu Putih kerana ada bukti atau petunjuk yang ditinggalkan mangsa sebelum hilang.

“Selain itu, walaupun misi pencarian rasmi berakhir (suatu hari nanti), mereka tetap akan keluar masuk hutan untuk mencari hasil hutan. Selagi itu, kehilangan wanita berkenaan akan terus terpahat dalam ingatan mereka dan sebarang petunjuk yang ditemukan tidak akan diabaikan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun kerani di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

Chew berkata kehilangan Jaslinda perlu dijadikan pengajaran semua pihak khususnya pendaki agar lebih peka terhadap aspek keselamatan sebelum melakukan aktiviti pendakian di kawasan pergunungan.

Beliau berkata setiap pendakian perlu dirancang dengan teliti, termasuk memaklumkan kepada komuniti setempat serta mematuhi waktu yang sesuai bagi mengelak risiko yang tidak diingini.

“Kalau ikut kepercayaan kami, seelok-eloknya nak masuk hutan ini bermula dari terbit matahari dan sebelum matahari terbenam. Hal ini kerana dalam tempoh itu, kita mudah nampak kawasan persekitaran dan dapat mengelak sebarang bahaya,” katanya.

Chew turut melahirkan rasa kecewa apabila masih terdapat segelintir pendaki yang gagal menjaga kebersihan kawasan hutan berkenaan termasuk meninggalkan sampah di beberapa laluan pendakian.

Beliau berkata sikap sebegitu bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah turut menjejaskan sensitiviti masyarakat setempat.

Justeru, beliau berkata pesanan yang dititipkan juga bukan bermaksud menolak kehadiran pendaki ke kawasan berkenaan, namun berharap setiap dalam kalangan mereka lebih berdisiplin dan menghormati peraturan “tidak bertulis” yang menjadi pegangan masyarakat setempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top