Fernandes dipuji bantu penumpang pesawat pengsan

Fernandes dipuji bantu penumpang pesawat pengsan

London: Bruno Fernandes dipuji oleh penumpang lain selepas pemain Manchester United itu membantu seorang lelaki yang pengsan semasa dalam penerbangan ke Lisbon, Isnin lalu.

Fernandes, yang menjaringkan satu gol dan mencipta dua gol lagi ketika kemenangan 3-0 United ke atas Leicester City di saingan Liga Perdana, Ahad lalu, sedang dalam perjalanan ke Portugal untuk menyertai skuad kebangsaan bagi perlawanan Liga Negara-Negara menentang Poland dan Croatia.

Susanna Lawson, seorang penumpang di dalam penerbangan itu memberitahu kepada Business Cloud UK bahawa dia mendengar panggilan meminta bantuan selepas Fernandes pergi ke tandas di bahagian belakang pesawat.

“Bruno sedang memegang seorang lelaki yang kelihatan seperti hendak pengsan. Saya tidak pasti sama ada dia sedar atau tidak.

“Ada tempat duduk kosong di bahagian belakang dan Bruno membantu lelaki itu untuk duduk. Dia tetap berada di belakang dan memastikan lelaki itu dalam keadaan baik,” kata Susanna.

Portugal akan melayan kunjungan Poland pada Jumaat ini sebelum bertandang ke Croatia pada 18 November.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top