am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang broker kereta didakwa ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM1.35 juta berkaitan pembelian tiga kenderaan mewah pada 2017.
Tertuduh Amier Amzar Akbarudin, 34 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa memindah dan melupuskan RM1.24 juta dan cek berjumlah RM110,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam dua akaun bank miliknya serta akaun bank milik tujuh lelaki berbeza berusia 32 hingga 67 tahun.
Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah bank di Subang Jaya antara 4 Februari hingga 6 April 2017.
Bagi semua pertuduhan berkenaan, Amier Amzar didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.
Dalam prosiding sama, Amier Amzar turut mengaku tidak bersalah menipu seorang lelaki berusia 44 tahun untuk membeli tiga kenderaan import iaitu Porsche 911, Lamborghini Aventador dan Audi R8 yang mendorong lelaki itu membuat bayaran berjumlah RM1.45 juta.
Justeru tertuduh didakwa melalukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.
Hakim menetapkan jaminan RM200,000 bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram dan RM25,000 bagi penipuan pembelian kenderaan mewah serta membenarkan syarat tambahan yang dikemukan pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Januari 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




