Teruja bertemu 'abang', 'kakak' polis

Teruja bertemu 'abang', 'kakak' polis

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keterujaan jelas terpancar pada wajah pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dong ketika disambut dengan layanan mesra ‘abang’ dan ‘kakak’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Pahang, baru-baru ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu hantaran di Facebook berkata, 47 pelajar dan sembilan guru dari SK Kuala Dong membuat lawatan ke Kaunter Aduan Balai Polis Raub dan Balai Trafik Raub.

“Tujuan lawatan sambil belajar ini adalah untuk memberi pendedahan awal serta pendidikan secara tidak formal kepada pelajar berkaitan fungsi balai polis.

“Ia juga bagi mendidik pelajar berkenaan bidang kerjaya sebagai anggota polis serta pengenalan kenderaan pasukan PDRM,” menurut hantaran itu.

Dalam hantaran sama PDRM berkata, program lawatan itu turut bertujuan memupuk hubungan silaturahim antara guru, pelajar dan anggota polis.

Lawatan itu dimulakan dengan sesi taklimat Inspektor Mohd Zuhairi yang turut menyampaikan sedikit taklimat berkaitan tugas anggota trafik dan nasihat berhubung keselamatan di jalan raya.

Rombongan turut dibawa melawat beberapa kenderaan PDRM antaranya jentera Unit Rondaan Bermotosikal (URB), motosikal trafik dan kereta peronda polis (MPV).

Hadir sama menyambut kedatangan kanak-kanak berkenaan adalah Ketua Bahagian Pengurusan IPD Raub, Asisten Superintendan Siti Norlaila Sulaiman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top