Turin: Jannik Sinner kini semakin hampir untuk merangkul gelaran Jelajah Akhir ATP pertamanya selepas menewaskan Casper Ruud dengan kemenangan dominan 6-1, 6-2.
Kemenangan itu melayakkan Sinner untuk berdepan Taylor Fritz dalam perlawanan akhir, lawan yang sama dikalahkan di final Terbuka Amerika Syarikat (AS) dua bulan lalu.
Di hadapan penyokong yang begitu bersemangat di Turin, Sinner melanjutkan rekod kemenangan berturut-turut kepada 10 perlawanan dengan satu lagi persembahan hebat, menunjukkan mengapa dia menjadi pemain Itali pertama yang menduduki ranking nombor satu dunia ATP pada penghujung musim.
Pemain berusia 23 tahun itu bangkit selepas kekalahan di final tahun lalu kepada Novak Djokovic dengan mengambil alih kedudukan legenda Serbia berkenaan, memenangi tujuh kejohanan musim ini, termasuk kemenangan Grand Slam pertamanya di Terbuka Australia sebelum menjuarai Terbuka New York pada September.
Sinner hampir tidak memberi peluang kepada Ruud untuk bertindak balas, memenangi tiga permainan awal dan menamatkan set pertama dalam masa setengah jam, sebelum mencatat kemenangan yang menyeluruh.
“Ia adalah perasaan yang luar biasa. Bermain di sini sangat istimewa,” kata Sinner.
“Ia adalah kejohanan yang sangat penting. Tahun lalu kami kalah di final, dan tahun ini kami mempunyai peluang untuk mencuba lagi dan melakukan yang lebih baik.
“Namun, tidak kira bagaimana keputusannya esok, ia menjadi minggu yang penuh emosi dengan banyak detik indah.”
Ruud, yang kali terakhir bertemu Sinner tiga tahun lalu, terkejut dengan peningkatan lawannya dan membandingkan pukulan yang dihadapinya seperti ‘roket’.
Fritz menghadapi cabaran besar untuk menjadi pemain AS pertama memenangi Jelajah Akhir ATP sejak Pete Sampras melakukannya 25 tahun lalu.
Dia tewas dua kali kepada Sinner tahun ini, termasuk dalam final Terbuka AS dan peringkat kumpulan di Turin.
Pemain nombor lima dunia itu menjadi lelaki AS pertama yang mara ke final sejak James Blake pada 2006 selepas menewaskan Alexander Zverev 6-3, 3-6, 7-6 (7/3) dalam perlawanan yang sengit.
Fritz kini berpeluang untuk membalas dendam atas kekalahan di final Terbuka AS, selepas melalui perlawanan sukar di Itali
© New Straits Times Press (M) Bhd

