Los Angeles: Jurulatih gimnastik Olimpik terkenal, Bela Karolyi, yang melatih Nadia Comaneci sehingga mencipta rekod ‘Perfect 10’ pertama dalam sukan itu, meninggal dunia pada usia 82 tahun, kata Gimnastik Amerika Syarikat (AS) pada hari Sabtu.
Karolyi, seorang etnik Hungary dari Romania, melatih Nadia meraih emas di Olimpik Montreal 1976 dan Moscow 1980.
Pada 1981, beliau dan isterinya, Marta, yang juga seorang jurulatih, berpaling tadah ke AS.
Di sana, Karolyi melatih Mary Lou Retton sehingga memenangi emas di Olimpik Los Angeles 1984.
“Nadia Comaneci mengenang jurulatihnya di Instagram:”Pengaruh besar dalam hidup saya. RIP Bela Karolyi.”
Bersama penghormatan itu, Nadia memuat naik gambar hitam putih dirinya bersama Karolyi semasa zaman mudanya.
“Bela Karolyi membimbing saya ke prestasi bersejarah ‘Perfect 10’ pertama dalam Olimpik hampir 50 tahun lalu… dan itu mengubah hidup saya untuk selama-lamanya,” katanya kepada USA Today.
Karolyi dikenali sebagai seorang yang tegas dan kadangkala kontroversi semasa melatih pasukan AS bersama isterinya di pusat latihan mereka, ‘Karolyi Ranch’, di Texas.
Pasangan Karolyi memainkan peranan penting dalam menjadikan pasukan gimnas AS sebagai kuasa besar di pentas dunia.
Pada 2001, ‘Karolyi Ranch’ dinamakan sebagai pusat latihan rasmi pasukan wanita kebangsaan AS selepas Marta dilantik sebagai penyelaras pasukan kebangsaan wanita.
Namun, pusat itu dihentikan penggunaannya oleh Gimnastik AS pada 2018 selepas skandal penderaan membabitkan bekas doktor pasukan, Larry Nassar.
Dominique Moceanu, yang memenangi emas Olimpik Atlanta 1996 sebagai ahli pasukan yang dilatih oleh Karolyi, berkata jurulatih itu memiliki sisi baik dan buruk.
“Bela Karolyi adalah seorang yang pengaruhnya terhadap hidup saya dan sukan gimnas elit sangat besar. Beliau adalah individu yang kompleks, memaparkan gabungan kekuatan dan kelemahan yang meninggalkan kesan mendalam kepada mereka di sekelilingnya,” tulisnya di X.
© New Straits Times Press (M) Bhd




