KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang berjaya menoktahkan miskin tegar pada 19 Februari lalu apabila kesemua 2,913 ketua isi rumah (KIR) yang direkodkan pada 15 Januari lalu, dikeluarkan daripada status tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lebih membanggakan, Pahang berjaya memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus apabila 4,263 daripada 14,210 KIR yang berstatus miskin pada 5 Jun lalu, dikeluarkan daripada kelompok tersebut.
Beliau berkata, untuk makluman, kategori miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 di luar bandar.
“Kategori miskin pula merujuk kepada pendapatan per kapita kurang daripada RM790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar.
“Penentuan status ini adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, semua pihak perlu memahami bahawa data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut keadaan sosioekonomi sesebuah isi rumah.
“Perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan, pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah termasuk anak-anak KIR yang berpindah keluar kerana berkahwin atau mendapatkan pekerjaan, boleh mempengaruhi status sesebuah keluarga.
“Justeru itu, pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai. Sebaliknya, ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi yang berterusan,” katanya.
Menurutnya, antara faktor utama menyumbang kepada kejayaan itu adalah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif dan intervensi bersasar oleh kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan di samping perubahan pendapatan serta saiz isi rumah.
Beliau berkata, kerajaan negeri terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap keluarga yang masih berada dalam kategori miskin dan miskin tegar dalam senarai eKasih terus dibantu mengikut keperluan masing-masing.
“Kita bukan sekadar mahu mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan tetapi lebih penting memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan yang lebih kukuh dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan Memangkas Kemiskinan ini demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Pahang,” katanya. – UTUSAN

