Tak nak nampak sama' – Fauzi Nawawi cuba buang bayangan watak polis terdahulu dalam Orang Perang

Tak nak nampak sama' – Fauzi Nawawi cuba buang bayangan watak polis terdahulu dalam Orang Perang

mohamadridzuan@hmetro.com.my

USIA pembabitan hampir mencecah 30 tahun dalam industri hiburan meletakkan pemilik nama pentas Fauzi Nawawi berada pada kelas tersendiri.

Menerusi pengalamannya, Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 53, diiktiraf sebagai pelakon versatil yang mampu melakonkan apa sahaja watak yang diberikan.

Filem Anak Halal arahan Osman Ali pada 2007 memperlihatkan sisi Fauzi yang berjaya melakonkan watak antagonis bernama Jeff sehingga menjadi sebutan ramai.

Kini selepas sekian lama sinonim dengan watak antagonis dan karakter keras, Fauzi tampil dengan sisi berbeza menerusi watak Inspektor Syed Zainal dalam filem Orang Perang berlatarbelakangkan zaman sebelum kemerdekaan.

Syed Zainal yang mengetuai Pasukan Polis Hutan (PPH) pada mulanya dibenci oleh masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Senoi diketuai Bah Tangga akibat hasutan komunis.

Bah Tangga pada awalnya sukar mempercayai orang Melayu dan Inggeris.

Syed Zainal pula terbabit dalam usaha mengesan gerakan komunis di Tanah Melayu sekitar era 1955 hingga 1956.

Pendekatannya secara beransur-ansur mengubah pandangan masyarakat Orang Asli, sekali gus membuka ruang kepada kepercayaan baharu terhadap tugasnya.

Fauzi berkata, karakter itu adalah satu lagi ruang untuk membuktikan kemampuannya keluar daripada acuan watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

“Tanggungjawab melakonkan watak Syed Zainal amat besar kerana dia ‘bertanggungjawab’ membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang berada dalam situasi sukar pada zaman berkenaan.

“Saya perlu hidupkan karakter anggota keselamatan yang mempunyai misi mempertahankan tanah air, selain berdepan latar sejarah yang cukup mencabar.

“Namun, cabaran terbesar saya bukan hanya dari segi karakter dan latar zaman, sebaliknya bagaimana memastikan watak Inspektor Syed Zainal tidak kelihatan seperti watak polis lain yang pernah dibawakan sebelum ini,”: katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu diberikan perhatian tambahan pula tahun ini sahaja, dia sudah membawa beberapa watak yang mempunyai persamaan dari segi pekerjaan sebagai anggota polis.

“Sebelum ini saya pernah bawa watak ACP Farouk Arbain dalam filem Polis EVO 3. Saya pun menerima tawaran membintangi filem Mandarin dengan membawa watak sebagai inspektor juga,

“Jadi untuk mempelbagaikan watak ini, saya perlu mencari pendekatan berbeza bagi setiap karakter. Jadi watak untuk pegawai polis hutan ini, saya tidak pandai menilai.

“Saya minta dan menyerahkan kepada penonton untuk menilai sendiri sejauh mana saya berjaya menghilangkan bayangan watak-watak terdahulu dan benar-benar menjadikan Inspektor Syed Zainal sebagai karakter tersendiri,” katanya.

Fauzi berkata, keputusan terletak di tangan penonton sama ada dia masih Fauzi Nawawi dalam filem atau bertukar kepada karakter berbeza.

“Kalau nak bandingkan sebelum ini dalam filem saya banyak buat watak jahat macam dalam filem Munafik. Untuk tahun ini, Alhamdulillah saya banyak ditawarkan watak baik.

“Saya lebih selesa dengan watak macam ini berbanding watak jahat yang saya sudah biasa bawa dan orang sudah kerap saksikan saya dengan watak ini,” katanya.

Suami kepada pelakon Lisdawati ini berkata, perubahan itu bukan sekadar pertukaran karakter di layar perak, sebaliknya dianggap sebagai satu fasa baharu dalam perjalanan seninya.

“Satu kelainanlah untuk saya. Satu perubahan baharu, satu era baharu, satu azam baharu, insya-Allah. Isteri pun sambut baik benda ini,” katanya.

Fauzi bagaimanapun berkata, dia tidak bermaksud mahu meninggalkan terus watak antagonis yang selama ini menjadi antara kekuatannya sebagai pelakon.

Sebaliknya, katanya, dia masih terbuka menerima apa sahaja tawaran yang sesuai dengan prinsip dan pertimbangannya sebagai seorang pelakon.

“Kalau dibayar dengan bagus, saya buat saja. Sebagai pelakon kalau dibayar dengan bagus dan tidak melanggar dari segi agama dan peraturan kita, saya akan buat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Orang Perang, Fauzi berkata, penggambaran dibuat di Perdik Fall di Hulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia di Semenyih.

Menurutnya, mesej utama yang mahu disampaikan kepada generasi hari ini dalam Orang Perang ialah mengenai harga sebuah keamanan dan kemerdekaan.

“Mesej dia sebenarnya untuk generasi muda menghargai keamanan dan kemerdekaan yang ada di tanah air kita sekarang.

“Saya suruh anak saya menonton filem macam ini supaya mereka lebih menghormati hubungan antara kaum.

“Anak-anak muda perlu tahu sejarah Tanah Melayu, baru kita akan sayangkan tanah air kita,” katanya yang memiliki lapan anak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top