Sewakan motosikal kepada warga asing

Sewakan motosikal kepada warga asing

PETALING JAYA: Aktiviti menyewakan motosikal kepada warga asing tanpa dokumen sah kini menjadi satu ‘industri’ menguntungkan dengan terdapat pengusaha memiliki sehingga 150 motosikal untuk disewakan.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya mengesan kewujudan individu yang memiliki antara 50 hingga 150 motosikal untuk disewakan kepada warga asing.

Katanya, keuntungan yang diraih daripada kegiatan itu menyebabkan sebahagian pengusaha tidak menghiraukan risiko dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana hasil sewaan yang diperoleh dilihat jauh lebih lumayan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekali penyewaan untuk sebuah motosikal, kita katakanlah RM150 sebuah. Kalau 100 motosikal, sudah hampir berapa ribu dapat.

“Jadi bagi mereka, jika tindakan diambil oleh JPJ mereka masih boleh bayar kompaun ataupun denda di mahkamah kerana keuntungan tersebut melebihi daripada jumlah kompaun,” katanya dalam audio siar PodX Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, terdapat pihak yang sanggup menyewakan kenderaan kepada warga asing tanpa dokumen dengan mengenakan kadar sewa lebih tinggi, daripada RM50 kepada RM70 dan seterusnya RM100.

Katanya, keadaan itu menunjukkan terdapat pihak yang sanggup mengabaikan aspek keselamatan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

“Jangan fikir permintaan, jangan fikir keuntungan. Fikir keselamatan pengguna-pengguna di atas jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan beberapa kawasan di Lembah Klang dikenal pasti sebagai lokasi yang mempunyai kehadiran pemandu warga asing yang ketara, antaranya Selayang, Ampang dan Cheras.

Katanya, keadaan sama turut dilihat di Putrajaya apabila terdapat warga asing yang bekerja dan pada masa sama membawa rakan-rakan mereka menggunakan kenderaan.

“Bila kami tahan, yang bekerja pun tidak ada permit yang sah, yang bawa pekerja pun tidak ada permit yang sah.

“Benda ini merupakan satu fenomena yang tidak enak untuk kita lihat dalam negara kita,” katanya.

Beliau pada masa sama menggesa rakyat Malaysia supaya memilih perniagaan yang sah dan tidak mengaut keuntungan melalui aktiviti yang boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebenarnya, di Malaysia ini banyak perniagaan yang halal yang boleh memberi manfaat. Kenapa kita hendak buat perniagaan macam ini? Carilah perniagaan lain,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top