mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan Pejabat Daerah Samarahan ditahan berhubung penyebaran surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan jam 12.45 tengah hari semalam di pondok pengawal Pejabat Daerah Samarahan.
Menurutnya, pada 15 Oktober lalu, seorang lelaki membuat laporan polis selepas menerima surat tawaran kerja daripada suspek yang mendakwa Pegawai Setiausaha Pejabat di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Mangsa mengenali suspek pada Julai lalu dan meyakinkan bahawa lelaki itu adalah pengiring rapat kepada Timbalan Perdana Menteri.
“Mangsa yang yakin dan percaya lalu menyerahkan dokumen iaitu resume termasuk nombor kad pengenalan, nombor akaun bank, sijil akademik, gambar pasport dan penyata gaji bagi tujuan permohonan kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin berkata, suspek kemudian menyerahkan dua surat pelantikan kepada mangsa iaitu pelantikan sebagai Pegawai Setiausaha Pejabat dan permohonan kuarters kerajaan.
“Hasil semakan dengan rakan kakak mangsa mengesahkan bahawa kedua-dua surat itu adalah tidak wujud menyebabkan dia yang berasa ditipu membuat laporan di Balai Polis Bintulu, Sarawak.
“Siasatan mendapati suspek dia bertindak sedemikian kerana inginkan perhatian daripada rakan-rakan kononnya dia mempunyai kenalan orang atasan dan boleh membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas dua telefon bimbit suspek bagi membantu siasatan.
“Suspek menyatakan sudah memusnahkan surat tawaran kerja palsu yang diberikan kepada rakan-rakannya termasuk mangsa menggunakan mesin pencincang kertas di Pejabat Daerah Samarahan.
“Semakan terhadap telefon bimbit yang dirampas turut terdapat perbualan antara suspek dan mangsa.
“Semakan juga menemui satu kumpulan WhatsApp dengan nama ‘Info Pengambilan/unit pso TPM’ di mana dalam perbualan itu, suspek memainkan dua watak iaitu sebagai dirinya sendiri dan sebagai Datuk Sri Masitah bertujuan meyakinkan rakan-rakannya yang berada dalam kumpulan itu selain berperanan sebagai pentadbir,” katanya.
Katanya, permohonan reman akan diminta hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun sama.
Semalam Harian Metro melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dikesan dihantar kepada individu di Sarawak.
Laporan polis itu dibuat selepas seorang kakitangan awam di Kuching memaklumkan kepada Fadillah menerusi WhatsApp Khamis lalu bahawa beliau terbaca dua surat berkepala rasmi Jabatan Perdana Menteri di pejabat agensi kerajaan di Kuching, Selasa lalu.
Surat berkenaan yang memetik nama Fadillah namun tiada tandatangannya menawarkan pelbagai jawatan dan kelulusan kuarters kerajaan yang disebarkan individu yang menyamar sebagai pegawai kepada Fadillah.
Berikutan itu, Fadillah dalam satu kenyataan Khamis lalu menafikan pihaknya mengeluarkan surat pelantikan individu sebagai pegawai di pejabatnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



