Netizen Bangladesh tuntut keadilan kematian pempengaruh dalam nahas babit pemandu mabuk di MEX

Netizen Bangladesh tuntut keadilan kematian pempengaruh dalam nahas babit pemandu mabuk di MEX

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelancong warga Bangladesh yang maut dalam nahas membabitkan pemandu mabuk di Lebuhraya MEX semalam, dikenali sebagai pencipta kandungan permainan popular di negaranya, Advance Gaming.

Muzahid Millad, 22, disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya bersama isteri, dirempuh ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Isterinya, Nafisa Tabassum Adiba, 23, dilaporkan cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum tragedi itu, pasangan berkenaan yang berasal dari Habiganj, Bangladesh, dilaporkan baru tiba di Malaysia untuk bercuti selama seminggu di ibu negara.

Kematian Muzahid sekaligus mencetuskan gelombang kesedihan dalam kalangan komuniti permainan dalam talian Bangladesh.

Di media sosial, tanda pagar seperti #JusticeForMuzahid, #JusticeForAdvanceGaming dan #BangladeshDemandsJustice mula tular, dengan ramai menuntut tindakan tegas terhadap pelaku.

Satu kenyataan dalam bahasa Bengali yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya, Advance Gaming, yang memiliki lebih 777,000 pengikut, mengesahkan pemergiannya dan memohon orang ramai mendoakan pemergiannya.

Terdahulu, polis menahan seorang pegawai tentera berusia 31 tahun yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kemalangan maut itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, bapa saudara Nafisa, Mohibul Hassan, 50, turut menuntut keadilan dan mempersoalkan bagaimana pemandu mabuk boleh berada di jalan raya, sambil berharap undang-undang Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top