norhayati_hmetro@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun kini dikenali sebagai Iwan Syahman, namun nama pentas, Iwan dangdut masih lagi terus melekat bagi komposer dan penyanyi lagu kerohanian, Wan Syahman Wan Yunus, 63.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Memori Daun Pisang, Cinta Tak Keruan dan Wulan ini berkata, sampai sekarang masih ada yang memanggilnya dengan nama Iwan dangdut dan tidak mengapa.
“Walaupun sudah 14 tahun saya berhijrah ke jalan Allah, tapi panggilan Iwan dangdut itu tetap melekat sampai sekarang. Ke mana saja saya hadir untuk berceramah, mesti ada orang yang panggil nama itu (Iwan dangdut).
‘Saya okay saja dan biarlah kalau orang nak terus panggil Iwan dangdut pun. Saya tidak marah atau pun terasa hati sebab dulu pada tahun 1991 memang saya pernah menyanyikan lagu-lagu dangdut.
“Lagi pula, mereka hanya panggil saya Iwan dangdut saja. Masih ada nama dan bukan tidak beradab langsung. Bagi saya, itu hak masing-masinglah nak panggil Iwan Syahman ke atau Iwan dangdut. Orangnya tetap sama, cuma nama berbeza,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Iwan, apa yang penting baginya selagi masih hidup ini adalah memperbanyakkan amal ibadat, bersedekah dan aktif berdakwah ke jalan Allah, apatah lagi kita selaku umat di akhir zaman.
“Apapun, sekarang ini saya sudah tidak menciptakan lagu untuk penyanyi wanita sebab suara mereka tetap aurat yang perlu dijaga dan saya mengikut apa yang diperintahkan agama.
“Walaupun masih aktif dalam penciptaan lagu, tetapi saya lebih menjurus kepada karya lagu kerohanian dan nasyid memuji Allah. Lagu yang berunsur cinta manusia, saya memang sudah ‘cuci tangan’ tak buat lagi,” katanya.
Sebelum ini, Iwan memaklumkan dia amat bersyukur apabila dikurniakan hidayah untuk berubah kembali ke jalan Allah ketika berusia 49 tahun dan membuat jiwanya tenang.
Pada 1987, Iwan pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor selama lapan tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wan Ramada Agus Putra, Octovia Manrose dan Aprena Manrose.
Kini, Iwan yang berkahwin dengan Evie Surriyanti berasal dari Permatang Siantar, Medan, Indonesia sejak 12 tahun lalu, bahagia bersama enam cahaya mata berusia antara lima hingga 15 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd


