redzuan.muharam@hmetro.com.my
Subang Jaya: Hanya kerana memuat naik video suara lip sync Zul Ariffin, James Devan Arokisamy mendapat perhatian apabila segelintir netizen mengatakan gaya dan wajahnya mirip pelakon versi Bollywood.
Sehingga kini, video dimuat naik James juga sudah meraih lebih 619,000 tontonan dengan rata-rata yang meninggalkan komen adalah kaum hawa.
James yang juga seorang pelakon tidak menyangka video itu mendapat perhatian kerana sekadar memuat naik untuk hiburan semata-mata.
“Sebenarnya, saya pernah muat naik video lip sync suara Zul Ariffin empat tahun lalu iaitu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tapi waktu itu tak mendapat perhatian pun jadi tak sangka ramai pula menonton video lip sync dimuat naik di TikTok baru-baru ini.
“Lagi mengejutkan adalah bila baca ruangan komen kerana ramai kata wajah saya seakan Zul Ariffin. Ramai juga tinggalkan komen sama di salah satu hantaran video babak dalam drama lakonan saya yang ditayangkan sempena Deepavali lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro
James menganggap apa diperkatakan netizen itu sebagai satu pujian kerana disamakan dengan wajah pelakon terkenal.
“Saya tak nampak pun ada persamaan tapi segelintir orang anggap begitu jadi terima saja.
“Cuma, Zul Ariffin ada aura tersendiri dan terkenal jadi menyamakan wajahnya saya dengan ikon besar sepertinya adalah satu penghargaan buat saya.
“Ikutkan, sebelum di TiKTok, ada yang pernah tegur saya dan kata wajah saya seakan Zul Ariffin ketika di set penggambaran dan jujurnya saya takut juga seandainya beliau (Zul Ariffin) tak selesa kerana tak pernah terlintas di fikiran saya untuk menumpang populariti sesiapa,” katanya yang belum pernah bertemu Zul Ariffin namun sedia bekerjasama dengan pelakon berkenaan.
Bercerita lanjut perihal dirinya, James yang memiliki Diploma Pengurusan Hotel berkata, pembabitan awalnya dalam industri seni bermula pada 2013 sebagai pengacara sebelum menceburi bidang lakonan.
“Dulu (berlakon) secara sambilan kerana saya mempunyai kerja tetap di bahagian khidmat pelanggan sebuah pusat kecergasan tetapi berlakon sepenuh masa sejak tiga tahun lalu.
“Baru-baru ini, saya dapat tawaran berlakon drama di dua stesen televisyen dan menyimpan hasrat bekerjasama dengan pengarah terkenal untuk mendalami lagi ilmu dalam bidang seni lakon,” katanya yang berterima kasih dengan sokongan semua pihak sejak awal pembabitannya hingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




