10 tengkorak termasuk satu mungkin milik wanita hilang pada 2019

10 tengkorak termasuk satu mungkin milik wanita hilang pada 2019

Santa Fe, Amerika Syarikat: Mayat seorang wanita yang hilang sejak 2019 mungkin ditemukan selepas pihak berkuasa New Mexico menemukan sekurang-kurangnya 10 tengkorak manusia di dalam dan sekitar hartanah berhampiran sempadan tenggara negeri itu, lapor The Mirror.

Penyiasat melaksanakan waran geledah untuk Cecil Villanueva, selepas menerima aduan daripada seorang penduduk di bandar Jal.

Penduduk itu memaklumkan dia menumpangkan Villanueva di dalam keretanya dan kemudian merasakan sesuatu yang aneh pada lelaki berkenaan, kata Pejabat Syerif Lea County.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 5 November, lapor CBS News.

“Villanueva membawa dua beg dan dilaporkan membuat kenyataan membimbangkan ketika dia membuang objek dari kenderaan itu dengan sebahagiannya kelihatan seperti tulang manusia,” kata pejabat syerif dalam kenyataan itu.

Serpihan tulang ditemukan oleh penyiasat ketika mereka melakukan pencarian di kawasan itu, dengan pakar patologi kemudian mengesahkan bahawa ia sebenarnya adalah tulang manusia.

Pakar terus memperincikan penemuan itu, dan menyatakan ia termasuk bahagian tengkorak dan tulang rahang manusia, kata pejabat syerif.

Sekurang-kurangnya 10 hingga 20 tengkorak manusia ditemukan di kediaman dekat Jal, yang terletak hanya beberapa kilometer (km) dari sempadan Texas,

Menurut penyiasat, beberapa tulang mungkin milik wanita hilang pada 2019 iaitu Angela McManes.

Wanita itu dilaporkan tinggal di kawasan berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top